PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini melahirkan kebimbangan terhadap pembabitan remaja sekolah dalam aktiviti kumpulan pengganas di negara ini.
Perdana Menteri berkata, perkara itu perlu diberi perhatian serius kerana ia adalah satu kegiatan yang salah berpunca daripada satu didikan salah.
“Baru-baru ini, muncul anak-anak sekolah belasan tahun pun terlibat dalam persiapan kegiatan ke arah keganasan yang diumumkan oleh Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail. Anak-anak kita salah didikan, salah pendedahan,” katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan bersama warga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di sini hari ini.
Sebelum ini, Mohd Khalid mendedahkan pihaknya telah berjaya melumpuhkan cubaan menghidupkan semula ideologi kumpulan pengganas Daesh di negara ini susulan penahanan enam remaja termasuk tiga di bawah umur menerusi operasi khas baru-baru ini.
Mohd Khalid berkata, suspek berusia antara 16 hingga 21 tahun itu ditahan dalam operasi dilancarkan oleh Cawangan Khas selama dua hari bermula 14 Februari di Lembah Klang, Johor, Kedah dan Terengganu.
Mengulas isu sama, Anwar menyeru rakyat Malaysia supaya terus bersatu padu dan menjaga keamanan yang ada dalam negara ketika ini.
“Jangan kita ambil sikap selesa, disebabkan culture complacency atau contentment, sebab itu badan pertahanan kita sentiasa bersiap-siaga.
“Kita kena waspada kerana ada rencana-rencana luar asing yang cemburu dan mahu campur tangan dalam urusan politik kenegaraan kita. Ini harus menyebabkan kita lebih waspada,” katanya. – UTUSAN










