KUALA LUMPUR: Pelakon, Aniq Suhair memperuntukkan kira-kira RM7,000 bagi pemberian duit raya kepada ahli keluarga sempena Aidilfitri tahun ini.
Aniq atau Muhammad Aniq Suhair Mohd. Mutazir, 26, berkata, meskipun belum membuat persiapan rapi dari segi kelengkapan diri, keutamaan tetap diberikan kepada tradisi pulang ke kampung setiap kali menjelang Syawal.
“Tahun ini kami sekeluarga akan pulang beraya di Taiping, kampung sebelah ibu. Kemeriahan memang luar biasa kerana ibu mempunyai 18 orang adik-beradik.
“Bayangkan jumlah sepupu dan saudara-mara yang akan berkumpul. Setakat ini, baju raya pun belum disiapkan, tetapi apa yang penting adalah peluang untuk bersama keluarga,” katanya.
Bekas peserta Hero Remaja 2020 itu berkata, dia tidak berkira untuk berbelanja lebih bagi tujuan berkongsi rezeki hasil kerja kerasnya dalam industri seni sepanjang tahun.
Menurutnya, tahun lalu sahaja dia membelanjakan sekitar RM6,000 hingga RM7,000 khusus untuk duit raya.
“Tahun ini mungkin sedikit bertambah memandangkan jumlah anak buah semakin ramai, termasuk ada sepupu yang baru menimang cahaya mata dan juga kembar.
“Bagi saya, selagi ada rezeki dan kerja berterusan, tidak salah untuk berkongsi. Walaupun jumlah bagi setiap individu tidak besar, yang penting mereka gembira,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Aniq memaklumkan kecederaan kaki yang dialaminya ketika menjalani penggambaran sebelum ini telah pulih sepenuhnya.
“Alhamdulillah, luka enam jahitan di lutut sudah sembuh. Walaupun sebelum ini terpaksa menahan sakit sehingga tahap lapan daripada 10 demi menyiapkan baki penggambaran, saya anggap itu sebagai komitmen kerja.
“Selepas ini saya akan lebih berhati-hati, terutama melibatkan babak aksi dan tidak mengambil mudah soal keselamatan di set,” katanya. -UTUSAN










