Kulasegaran hina prinsip pengasingan kuasa - Pemuda Pas

Kulasegaran hina prinsip pengasingan kuasa – Pemuda Pas

MOHD. HAFEZ SABRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tindakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran mengiringi aktivis, Arun Dorasamy yang dihadapkan ke mahkamah merupakan satu penghinaan kepada prinsip pengasingan kuasa.

Timbalan Ketua Pemuda Pas, Mohd. Hafez Sabri berkata, tindakan itu turut menimbulkan persoalan sama ada jawatan yang disandang Kulasegaran mengatasi prosedur polis atau sebaliknya.

“Mengapa seorang individu mendapat layanan permaidani merah, sedangkan individu lain diburu sehingga ke peringkat antarabangsa dan dilayan seperti penjenayah berbahaya?

“Jangan sesekali cuba membodohkan rakyat dengan gambaran kononnya pendakwaan ke atas Arun adalah bukti kerajaan bertindak adil. Hakikatnya, isu ini sepatutnya ditangani secara telus sejak dari awal lagi. Kerajaan dilihat hanya bertindak selepas menerima desakan hebat daripada orang awam, bukannya atas dasar integriti penguatkuasaan yang konsisten,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Kulasegaran mengiringi Arun sewaktu tiba di pekarangan Mahkamah Majistret, Jawi, Pulau Pinang bagi menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan.

Arun, 56, didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan melalui video dimuat naik di Instagram miliknya, membuat pengakuan tidak bersalah di hadapan Majistret Nurul Aina Ahmad.

Mohd. Hafez berkata, prinsip keadilan di Malaysia tidak boleh hanya ‘tajam ke bawah tetapi tumpul ke atas’. Kebebasan institusi mahkamah dan profesionalisme pihak polis kini berada pada tahap yang amat membimbangkan.

“Jangan biarkan kedaulatan undang-undang dinodai demi kepentingan sekutu politik. Kami menuntut keadilan yang saksama buat seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kedudukan mahupun ideologi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN