Anggota tentera maut kereta dipandu bertembung lori 10 tan

Anggota tentera maut kereta dipandu bertembung lori 10 tan

KEADAAN kereta Perodua Myvi dipandu anggota tentera yang maut selepas terlibat kemalangan dengan sebuah lori 10 tan di Jalan Lendu, Kampung Lendu, Alor Gajah, pagi tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Seorang anggota tentera maut selepas kereta dipandunya terlibat kemalangan dengan sebuah lori 10 tan di Jalan Lendu, Kampung Lendu di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, mangsa lelaki berusia 25 tahun yang memandu sebuah Perodua Myvi didapati tersepit di bahagian tempat duduk pemandu selepas kenderaannya bertembung dengan lori jenis Hino.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd. Hafidzatullah Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 10.10 pagi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Gajah segera dikerahkan ke lokasi dan mendapati kemalangan melibatkan sebuah kereta Perodua Myvi dengan sebuah lori 10 tan.

“Setibanya di lokasi, didapati seorang lelaki yang juga anggota tentera tersepit di bahagian pemandu kereta berkenaan.

“Pasukan bomba kemudian menjalankan operasi menyelamat menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata, mangsa berjaya dikeluarkan daripada kenderaan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 11.06 pagi,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini