SOPHIA Albarakbah menggalas tanggungjawab yang cukup berat apabila menerima watak Amira, seorang transgender menerusi filem Amira Amir.
Pelakon jelita ini juga maklum mengenai kritikan yang bakal dihadapinya kerana membawa watak yang bersifat tabu selain mengupas isu sensitif iaitu perhubungan sesama jantina.
Justeru pemilik nama sebenar Sharifah Sophia Syed Abdul Rahman ini mengambil pendekatan berlapang dada dan meraikan segala pandangan, kritikan dan perdebatan mengenai filem berkenaan.
Tegas Sophia, persetujuan menjayakan Amira Amir bukan untuk mempromosikan transgender mahupun gaya hidup yang ditegah agama, sebaliknya untuk menyampaikan kesedaran dan membuka mata masyarakat terhadap isu berkaitan.
“Filem ini bukan bertujuan untuk menggalakkan atau membenarkan perkara yang salah di sisi agama. Isu transgender ini adalah perkara tabu. Yang salah tetap salah.
“Amira Amir adalah naskhah yang mengajar kita sikap empati terhadap golongan ini, memahami permasalahan yang mereka hadapi.
“Yang paling penting ia mengajar kita keutamaan bersikap jujur dalam setiap perkara. Dalam filem ini, Amira menyembunyikan identitinya sebagai transgender. ketidakjujuran itu membawa kepada masalah lebih besar.
“Tapi kita tidak boleh menidakkan trauma dan pengalaman hidup mereka yang mengakibatkan mereka memilih untuk menjadi transgender. Sekali lagi ingin ditegaskan kita bukan mahu mempromosikan perkara yang salah, cuma mahu mengangkat realiti yang berlaku hari ini,” katanya.
Sophia mengakui watak Amira terlalu mencabar untuk dibawakan kerana sebagai pelakon, dia perlu meyakinkan penonton terhadap kemenjadiannya membawa watak transgender.
“Saya ada berjumpa dan duduk semeja dengan golongan transgender ini untuk mendapatkan gambaran diri mereka selain menyelami kisah hidup mereka.
“Rata-rata golongan transgender ini dibuang keluarga. Sebagai manusia, saya faham kesakitan yang mereka tanggung kerana dibuang keluarga. Mungkin kerana tiadanya sokongan moral, tindak tanduk mereka menyimpang jauh.
“Pertemuan dengan golongan ini sebenarnya memberi kesedaran dan membuka mata saya terhadap pentingkan sokongan keluarga dalam apa keadaan sekalipun. Bukan bermaksud kita sokong pilihannya menjadi transgender,” jelasnya.
Pelakon Wanita Terbaik dan penerima anugerah Pencapaian Luar Biasa World Film Carnival Singapore 2021 ini dalam masa yang sama memaklumkan dia meraikan perbezaan pandangan serta kritikan ramai sama ada mengenai lakonannya mahupun penceritaan filem berkenaan.
“Saya terima semua pandangan. Sebagai manusia, kita punya hak melontarkan pendapat. Perkara itu kita tidak boleh halang.
“Pada dasarnya memang filem ini dihasilkan untuk mengajak orang bercakap dan berkongsi pandangan mengenai isu transgender ini. Kita mahu tanam kesedaran dan membuka ruang perdebatan yang sihat mengenai topik ini
“Cuma saya berharap agar orang ramai tidak mudah jatuh hukum. Tonton dahulu filem ini dan jangan sekadar menonton sedutannya sahaja.
“Saya pasti jika mereka menonton keseluruhan jalan cerita Amira Amir, tentu sekali mereka bersetuju yang filem ini bukan mahu mengangkat golongan transgender,” ujarnya.











