JOHOR BAHRU: Tindakan dua rakyat negara ini yang mengisi minyak petrol RON95 ke dalam sebuah tong besar yang diletakkan di bahagian belakang sebuah kereta di sebuah stesen minyak di Mutiara Rini, di sini adalah salah di sisi undang-undang.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan memberitahu, pihaknya memandang serius tindakan tersebut walaupun mereka merupakan pemegang MyKad yang sah.
“Perbuatan itu melanggar peraturan kerana menyalahgunakan subsidi bahan api di bawah Program BUDI95. Tindakan tersebut berpotensi menjejaskan usaha kerajaan dalam memastikan pengurusan subsidi dilaksanakan secara telus, bersasar dan berkesan.
“Sehubungan itu, tindakan tegas akan diambil termasuk menyekat kad pengenalan yang digunakan dalam transaksi tersebut daripada terus menikmati subsidi BUDI95,” kata kenyataan itu.
Tambahnya, pemilik kenderaan yang terlibat juga akan dikenakan sekatan sama sebagai langkah penguatkuasaan.
“Sebarang bentuk ketirisan dan salah guna subsidi tidak akan dikompromi, khususnya dalam keadaan semasa yang memerlukan kawalan rapi terhadap bekalan serta harga bahan api.
“Tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi membendung aktiviti tidak bertanggungjawab seperti ini daripada berleluasa,” jelas kenyataan itu lagi.
Semalam, tular rakaman video menunjukkan sebuah kenderaan bernombor pendaftaran Malaysia mengisi petrol RON95 ke dalam tong yang diletakkan di bahagian but sebuah kereta.
Rakaman tersebut turut memaparkan jumlah bayaran yang tertera di pam minyak membabitkan pengisian melebihi 71 liter dengan nilai bayaran lebih RM230.-UTUSAN










