SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun hari ini memohon maaf sekiranya kenderaan rasmi yang dinaikinya melanggar lampu merah sehingga menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan orang ramai.
Beliau mengakui perbuatan itu berlaku tetapi bukan secara sewenang-wenangnya sebaliknya ia dilakukan jika ada tugasan rasmi yang memerlukan beliau mengejar masa.
Katanya, beliau mempunyai banyak program rasmi setiap hari di tempat yang berlainan dan adalah amat penting untuk beliau hadir terutamanya yang membabitkan rakyat.
“Saya terpaksa langgar sebab kesegeraan tetapi kami menggunakan isyarat yang cukup dan berhati-hati semasa melakukannya selain seorang pegawai polis berada dalam kenderaan untuk memberikan panduan.
“Saya pun tidak berani langgar lampu merah secara suka-suka tetapi sebagai ketua negeri kami dibenarkan berbuat demikian,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas hantaran di media sosial memaparkan kenderaan rasmi Menteri Besar Negeri Sembilan direkod melanggar lampu merah di persimpangan berhampiran Hospital Tuanku Ja’afar di sini.
Aminuddin menjelaskan, pihaknya turut menulis surat kepada pihak berkuasa untuk melakukan tindakan tertentu pada masa yang memerlukan untuk berbuat demikian.
Sementara itu, beliau meminta para ibu bapa kepada anak yang sedang belajar di negara berhampiran Iran supaya mengikuti perkembangan terkini ekoran perang antara Amerika Syarikat (AS), Israel dan Iran.
Katanya, ia penting supaya mereka mengetahui arahan terkini yang dikeluarkan oleh negara berkenaan bagi menghadapi kesan perang tersebut.
Katanya, apa yang diketahui sehingga kini ialah sasaran Iran adalah pangkalan tentera AS di sekitar rantau itu dan bukan perang antara dua negara.
“Tetapi ia masih merisaukan semua pihak dan keluarga pelajar perlu mengikuti dengan dekat perkembangan terkini di negara-negara berkenaan Kita dimaklumkan para pelajar ini tidak dibenarkan keluar daripada kediaman masing-masing bagi mengelakkan sebarang risiko,” katanya. – UTUSAN











