PETALING JAYA: Penyanyi, Aisha Retno sedih apabila lagu rayanya, Jodoh Lebaran yang dihasilkan sempena Aidilfitri tahun ini menerima komen negatif dari netizen Indonesia.
Menurut Aisha, dia sangat berbangga mempunyai darah kacukan Jawa Indonesia, namun kesal apabila karyanya itu dianggap tidak berkualiti dan mampu tandingi lagu Indonesia.
“Jujur saya sedih melihat ini. Saya bangga mempunyai darah Malaysia dan Indonesia, mama orang Jawa, papa orang Kelantan.
“Mari kita sebarkan perkara positif, okay. Semoga Allah melindungimu,” katanya di ruangan komen seorang pengguna Threads.
Aisha terpanggil untuk berkata demikian selepas menyedari seorang individu yang berasal dari Indonesia mempertikaikan kualiti lagu Jodoh Lebaran yang turut mendapat jumlah penstriman tertinggi di seluruh Asia Tenggara termasuk negara berkenaan.
Difahamkan, individu terbabit memuat naik kenyataan tersebut kerana penggunaan beberapa kosa kata yang sama digunakan di negara berkenaan.
“Kosa kata ‘Lebaran’, lagu raya, baju raya, semua itu cuma untuk promosi saja. Kelakar! Lagu seperti ini mahu saingi lagu-lagu Indonesia, sampai ‘overclaim’ trending di Indonesia. Lagu tak berkualiti,” kata individu tersebut.
Bagaimanapun, kenyataan tersebut sudah dipadam oleh individu berkenaan selepas meraih kecaman dari warganet yang rata-ratanya membela Aisha.
Sekadar info, Jodoh Lebaran merupakan antara Lagu Raya 2026 yang meraih penstriman tertinggi di seluruh platform selepas dilancarkan pada 6 Mac lalu.










