Aidilfitri tetap meriah bagi Tasryes - Utusan Malaysia

Aidilfitri tetap meriah bagi Tasryes

TASRYES Suhailys Roslan ditemani Roslan Hashim mencuba baju Melayu pada Majlis Sumbangan Aidilfitri Asnaf dan Anak Yatim UMNO Bahagian Alor Setar, Kedah. – UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Erti Hari Raya Aidilfitri bagi kanak-kanak berusia lapan tahun yang kurang upaya penglihatan pasti berbeza daripada kanak-kanak lain, namun tetap sarat dengan kegembiraan dan makna tersendiri.

Meskipun tidak dapat melihat baju raya yang berwarna-warni atau lampu hiasan di rumah, Tasryes Suhailys Roslan merasai kemeriahan melalui deria dan perasaan.

Katanya, bunyi takbir yang berkumandang, suara riang saudara-mara yang datang ber­kunjung serta gelak tawa adik-beradik dan sepupu sudah cukup menggambarkan bahawa lebaran telah tiba.

“Selain itu, erti raya bagi saya adalah menikmati pelbagai juadah terutama ketupat dan rendang yang menjadi makanan kesukaan saya pada 1 Syawal serta menerima duit raya daripada ahli keluarga,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sumbangan Aidilfitri Asnaf dan Anak Yatim UMNO Bahagian Alor Setar di sini.

Tasryes Suhailys yang merupakan murid tahun dua di Sekolah Kebangsaan (SK) Jabi, Pokok Sena berkata, walaupun tidak dapat melihat seperti rakan sebaya, dia gembira kerana memiliki ramai kawan yang menyenangi dirinya.

“Saya suka ke sekolah sebab ramai kawan-kawan, mereka sering membantu saya termasuk juga para guru yang baik dan tak jemu mendidik saya,” katanya.

Sementara itu, bapanya, Roslan Hashim, 60, berkata, daripada lima cahaya mata, dua lagi anaknya senasib Tasryes Suhailys yang tidak dapat melihat sejak lahir.

“Alhamdulillah memang me­reka boleh berdikari terutama­nya dalam menguruskan diri di rumah dan sekolah, selebihnya saya harap juga bantuan pihak sekolah untuk mendidik anak-anak.

“Syukur kerana ada yang masih ingat kami dengan memberi bantuan kelengkapan raya kepada anak-anak sebab pendapatan saya bekerja sebagai buruh tidak menentu,” katanya.

Dalam pada itu, Naib Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Syed Mohd. Johan Rizal Syed Unan berkata, pihaknya bersama Boustead Holdings Bhd. menyantuni seramai 70 kanak-kanak untuk memberi sinar ke­gembiraan sempena Syawal.

“Mereka bebas memilih pakaian kegemaran, yang kita dapat lihat masing-masing sangat gembira dengan peluang seperti ini kerana mereka terdiri daripada keluarga kurang berkemam­puan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN