ALOR SETAR: Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menitahkan rakyat agar memelihara keharmonian yang dikecapi dan tidak membiarkan perbezaan merenggangkan hubungan yang telah lama terbina.
Baginda bertitah, Aidilfitri bukan sekadar hari kemenangan, tetapi lambang kekuatan sebenar yang terletak pada keimanan, perpaduan dan kasih sayang sesama insan.
Terdahulu, Sultan Sallehuddin berkenan berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama ribuan jemaah di Masjid Zahir, Alor Setar.
Turut berangkat, Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin; Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff; Tunku Mahkota Kedah, Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin dan Tunku Puan Mahkota Kedah, Che Puan Nur Julie Ariff.
Sultan Kedah serta keluarga diraja baginda turut perkenan beramah mesra dan mengurniakan ampun kurnia duit raya kepada kanak-kanak yang hadir setelah menunaikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri. -UTUSAN










