PETALING JAYA: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan peningkatan trafik sehingga 2.3 juta kenderaan sehari pada hari-hari puncak sempena musim perayaan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Pengarah Urusannya, Datuk Nik Airina Nik Jaffar berkata, jumlah tersebut dijangka berlaku pada 18, 19, 20, 27, 28 dan 29 Mac, iaitu tempoh utama orang ramai pulang ke kampung serta kembali semula ke Lembah Klang selepas cuti perayaan.
Menurut beliau, angka itu mencatatkan peningkatan sebanyak 21 peratus berbanding purata trafik harian biasa di lebuh raya kendalian PLUS.
“Trend ini selari dengan peningkatan trafik yang dicatatkan semasa musim perayaan Tahun Baharu Cina yang lalu apabila jumlah kenderaan pada waktu puncak sehari melebihi dua juta.
“Kami juga mengambil tiga pendekatan utama sebagai persediaan menghadapi peningkatan trafik di lebuh raya kendaliannya sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri ini iaitu pengurusan trafik dan insiden yang lebih efisien.
“Selain, pengagihan trafik yang lebih optimum dan keselesaan pengguna bagi memastikan pengalaman perjalanan yang lebih selamat dan selesa,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar mengenai persiapan PLUS menghadapi peningkatan trafik sempena Aidilfitri di Persada PLUS, di sini hari ini.
Menurut Nik Airina, PLUS menggesa orang ramai merancang perjalanan pulang ke kampung dan kembali ke Lembah Klang dengan merujuk Jadual Perjalanan Digital MyPLUS-TTA yang boleh diakses melalui aplikasi PLUS.
Tambahnya, jadual perjalanan tersebut boleh digunakan bagi perjalanan di Lebuhraya PLUS dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) bermula 18 hingga 30 Mac 2026.
“Pengguna lebuh raya dijangka mengalami tempoh perjalanan yang lebih panjang sekiranya memulakan perjalanan di luar waktu yang dicadangkan oleh MyPLUS-TTA, namun ia juga bergantung kepada keadaan trafik semasa serta insiden yang tidak dijangka,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, lebih 6,000 petugas dalam ekosistem lebuh raya digerakkan di pelbagai lokasi bagi memastikan operasi berjalan lancar sepanjang musim perayaan.
“Petugas tersebut merangkumi kakitangan operasi plaza tol, pasukan PLUSRonda dan LPT2Ronda, Pusat Pemantauan Trafik, Pasukan Bantuan Kecemasan (ERT), anggota RELA serta kakitangan penyelenggaraan.
“Rondaan pasukan PLUSRonda dan LPT2Ronda yang bertugas 24 jam sehari turut dipertingkatkan manakala pasukan ERT ditempatkan di sembilan lokasi strategik bagi memberi bantuan kecemasan dengan lebih pantas,” katanya.
Dalam usaha meningkatkan keselesaan pengguna, PLUS turut melaksanakan penambahbaikan kemudahan di lebih 60 lokasi melibatkan kawasan Rehat dan Rawat (R&R), hentian sebelah serta plaza tol di seluruh rangkaian lebuh rayanya.
Selain itu, katanya, sebanyak 25 tandas kabin tambahan turut disediakan di beberapa plaza tol dan hentian sebelah terpilih bagi menampung peningkatan jumlah pengguna sepanjang musim perayaan.
“Kami juga terus menaik taraf infrastruktur pencahayaan jalan secara berperingkat dengan menukar lebih 37,000 lampu jalan konvensional kepada lampu LED bagi meningkatkan tahap keselamatan pengguna lebuh raya,” katanya. – UTUSAN










