‘Adik sempat cuba baju raya sebelum balik kolej’ - Utusan Malaysia

‘Adik sempat cuba baju raya sebelum balik kolej’

LUQMAN Nulhakim Mohammad Shukor menunjukkan gambar adik-adiknya ketika ditemui di pekarangan Hospital Kepala Batas, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS: Dua beradik yang maut selepas motosikal yang mereka naiki terlanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipercayai rosak dan ditinggalkan di tepi lebuh raya, petang kelmarin sempat mencuba baju kurung dan baju Melayu yang dibeli secara dalam talian, tiga hari lalu.

Abang sulung mangsa, Luqman Nulhakim Mohammad Shukor, 21, berkata, kedua-dua adiknya iaitu Luqman Nulrois, 19, dan Siti Nurzulaikha, 17, kelihatan begitu teruja semasa menggayakan pakaian tersebut.

“Menang setiap tahun atau setiap kali raya, kami sekeluarga akan pakai baju yang warnanya sedondon dan tahun ini, kami pilih warna ‘steel blue’ (biru kekelabuan).

Memuatkan artikel berkaitan…

“Walaupun sedih dengan pemergian adik-adik saya kerana kami bertiga sangat rapat, namun, saya reda akan ketentuan Ilahi,” katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik, Hospital Kepala Batas di sini.

Dalam kejadian itu, Luqman Nulrois dan Siti Nurzulaikha dikatakan sedang dalam perjalanan pulang ke asrama mereka di Kolej Vokasional (KV) Nibong Tebal dari rumah di Guar Chempedak, Yan, Kedah.

Bagaimanapun, sebaik sahaja tiba di lokasi iaitu di Lebuhraya Utara Selatan arah Sungai Petani, Kedah menghala ke Bertam, motosikal yang mereka naiki terlanggar bahagian belakang MPV terbabit.

Difahamkan, Luqman Nulrois meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital manakala Siti Nurzulaikha pula menghembuskan nafas terakhir di lokasi akibat cedera parah.

Dalam pada itu, Luqman Nulhakim yang juga anak sulung daripada enam beradik berkata, dia mendapat tahu mengenai kemalangan itu daripada ibu mereka selepas dimaklumkan oleh pihak kolej.

“Masa itu, saya tidak sempat pergi ke lokasi kejadian kerana tengah bekerja di Sungai Petani. Jadi, saya pilih untuk terus ke hospital. Sebelum ke hospital pun saya ada cuba telefon adik berkali-kali, namun, tiada jawapan,” katanya.

Mengulas mengenai perubahan sikap adik-adiknya sebelum tragedi itu berlaku, Luqman Nulhakim berkata, beberapa hari sebelum kejadian, Siti Nurzulaikha kelihatan begitu teruja untuk menolong ibu mereka mengecat rumah sebagai persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

“Mereka berdua balik rumah (di Yan) pada Jumaat dan hari Sabtu itu terus dia (adik perempuan) beria-ria mahu tolong ibu cat rumah dan dia sempat cat biliknya sendiri walaupun separuh,” katanya yang menyifatkan kedua-dua adiknya itu seorang yang periang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini