Aaron Tai-Kang Khai Xing jaguh beregu dalam pembikinan

Aaron Tai-Kang Khai Xing jaguh beregu dalam pembikinan

AARON Tai-Kang Khai Xin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Beregu lelaki muda negara, Aaron Tai–Kang Khai Xing membuktikan mereka bukan sekadar pelengkap undangan apabila mencipta sensasi pada penampilan sulung di Kejohanan Badminton All England sebelum langkah mereka terhenti di pusingan kedua kelmarin.

Pasangan berusia 19 tahun itu sekali lagi mempamerkan semangat juang tinggi sebelum tunduk 19-21, 17-21 kepada beregu No. 11 dunia dari China, Chen Bo Yang-Liu Yi di Utilita Arena Birmingham.

Walaupun tewas, Aaron-Khai Xing tetap mencuri tumpuan apabila memberi tentangan sengit kepada pasangan China yang jauh lebih berpengalaman sehingga memaksa lawan mereka bekerja keras sepanjang 48 minit perlawanan.

Lebih mengagumkan, juara dunia remaja itu sebelum ini mencetus kejutan besar dengan menyingkirkan pasangan No. 4 dunia dari India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty pada pusingan pertama, pada Rabu lalu.

“Kami sudah lakukan yang terbaik, tetapi pada set kedua kami melakukan banyak sangat kesilapan.

“Kami harus meningkatkan dari segi kekuatan dan kelajuan untuk melawan di pentas utama,” kata Khai Xing.

Penampilan di Birmingham juga menjadi pentas bersejarah buat mereka kerana ia bukan sahaja penampilan pertama di All England, malah turut menandakan debut mereka dalam kejohanan bertaraf Super 1000.

Walaupun perjalanan mereka terhenti di pusingan kedua, aksi penuh berani pasangan muda itu memberi isyarat jelas bahawa Malaysia mungkin sedang menyaksikan kelahiran satu lagi gandingan beregu lelaki yang bakal menjadi sandaran masa depan negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN