90 peratus daripada 150 hektar kebakaran di Punggai berjaya dipadam

90 peratus daripada 150 hektar kebakaran di Punggai berjaya dipadam

SEBAHAGIAN anggota JBPM Johor melaksanakan operasi pemadaman kebakaran melibatkan kawasan hutan seluas 150 hektar di kawasan Punggai, Pengerang, Kota Tinggi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Operasi pemadaman kebakaran hutan di Punggai, Pengerang dekat sini hampir selesai apabila kira-kira 135 hektar atau 90 peratus daripada keseluruhan 150 hektar kawasan kebakaran telah berjaya dipadamkan, setakat 9 pagi tadi.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Punggai, Pegawai Bomba Tinggi II, Ezam Mistorerrodin berkata, kejayaan itu susulan pelaksanaan kaedah water bombing yang telah dimulakan pihaknya.

“Operasi hari ini melibatkan seramai 10 anggota bomba, tiga anggota polis, 14 anggota Angkatan Pertahanan Awam, serta beberapa kakitangan daripada pelbagai agensi lain seperti pihak berkuasa tempatan (PBT), Kejora dan Pejabat Daerah.

“Lebih daripada 10 jentera digunakan dalam operasi pemadaman ini termasuklah sebuah helikopter MI-17, sebuah lori tangki bomba, tiga tangki air, pam mudah alih serta jengkaut,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Ezam berkata selain melaksanakan kerja-kerja pemadaman di lokasi berkenaan, pihaknya juga memberikan tumpuan kepada baki 4.5 hektar kawasan tanah gambut yang masih terbakar di belakang kediaman Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pengerang.

“Operasi pemadaman di sini melibatkan keanggotaan seramai 19 anggota bomba serta masing-masing dua kakitangan dari PBT, Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Pengairan dan Saliran.

“Helikopter turut digerakkan untuk melaksanakan kaedah ‘water bombing’ di lokasi ini, selain kerja pemadaman diteruskan secara direct attack dan total flooding,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN