JOHOR BAHRU: Kira-kira 80 pekerja sebuah syarikat pembinaan di Pasir Gudang bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan serba kekurangan selepas majikan mereka tidak membayar gaji dan bayaran kerja lebih masa sejak enam bulan yang lalu.
Sebuah portal akhbar melaporkan sekumpulan pekerja Esstar Vision Sdn. Bhd. (EVSB), yang enggan nama mereka didedahkan berkata, mereka terpaksa mengikat perut demi kelangsungan hidup, manakala majikan pula tidak banyak membantu mereka.
“Kami berdepan krisis buruh dan kemanusiaan yang serius yang memerlukan campur tangan kerajaan untuk diselesaikan. Majikan kami gagal membayar gaji dan bayaran kerja lebih masa kami selama enam bulan berturut-turut.
“Selepas menunggu selama empat bulan, pada Januari lalu kami buat aduan kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK), tetapi isu ini masih belum selesai. Mereka (JTK) hanya akan bertemu majikan pada 17 April,” kata seorang jurucakap kumpulan itu kepada portal berita berkenaan.
Menurut laporan berita itu lagi, pekerja-pekerja berkenaan mengalami kekurangan bekalan makanan yang serius disebabkan tiada sumber kewangan malah terpaksa berkongsi makanan serta mengharapkan belas ihsan serta bantuan orang lain untuk meneruskan kehidupan.
Jurucakap itu juga mendakwa, pihak majikan turut mengugut mereka selepas aduan dibuat dan memaklumkan lapan daripada mereka tidak akan diperbaharui kontrak.
“Disebabkan kecuaian majikan, enam daripada kami tidak dapat memperbaharui permit kerja. Seorang lagi bekerja selama lapan bulan tanpa visa kerja.
“Kami bimbang sekiranya perkara ini berterus kan kami akan dianggap sebagai pekerja tanpa izin,” katanya.
Jurucakap kumpulan pekerja itu merayu pihak berkuasa campur tangan bagi menyelesaikan masalah mereka termasuk meminta majikan menjelaskan semua tunggakan gaji dan memberikan surat pelepasan supaya mereka dapat mencari kerja di syarikat lain.
“Kami bukan sahaja mempunyai keluarga di kampung halaman untuk disara, malah perlu melunaskan hutang yang diambil untuk datang bekerja ke Malaysia,” katanya.
Jurucakap EVSB Law Yik Hui yang dipetik portal berita itu dilaporkan berkata, syarikat itu sedar masalah yang dihadapi pekerja asingnya dan sedang menangani perkara tersebut melalui JTK.
“Syarikat sedang memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa,” katanya.
Beliau berkata, syarikat itu bukannya enggan membayar gaji dan sedang berusaha untuk menyelesaikan perkara tersebut mengikut undang-undang. – UTUSAN










