SUNGAI BULOH: Seramai 5,000 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) disasarkan menerima penempatan pekerjaan sehingga 2030 melalui Program LINDUNG Kerjaya MYFuture Jobs Wira.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, program itu akan membangunkan ekosistem bersepadu yang menghubungkan veteran dengan lebih strategik menerusi pemetaan pekerjaan berdasarkan lokaliti veteran dan Industri.
Menurutnya, program itu melibatkan gabungan kolaborasi antara Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) dan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
“Skop kerjasama yang dimeterai akan memberi penekanan kepada padanan pekerjaan, perkongsian data veteran, integrasi Veteran Integrated Benefit System (VIBES) dan MYFutureJobs yang bakal memanfaatkan kumpulan sasar terutamanya dalam meningkatkan taraf sosioekonomi mereka.
“Usaha ini wajar agar veteran di seluruh pelosok Malaysia dapat merasai nikmat pekerjaan yang bermaruah dan tidak hanya tertumpu di bandar-bandar besar sahaja.
“Inisiatif ini juga sejajar dengan matlamat MINDEF menerusi Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) dan Pelan Transformasi PERHEBAT 2026-2035 yang memberi keutamaan untuk memperkasa laluan kerjaya kedua perwira negara dipacu sektor awam dan swasta,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama di Majlis Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara PERHEBAT dan JHEV ATM dan Perkeso di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan; Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman.
Sementara itu, Ramanan berkata, pihaknya komited memastikan kadar penempatan minimum sebanyak 45 peratus dapat dicapai bagi setiap intervensi yang dijalankan sepanjang tahun 2026.
“Saya tegaskan matlamat kita bukan sekadar menyediakan peluang pekerjaan, tetapi memastikan veteran ATM memperoleh pendapatan bermaruah setaraf kepakaran serta disiplin tinggi yang mereka miliki.
“Pengambilan mereka bukan sahaja membekalkan industri dengan tenaga kerja kompeten, malah merupakan langkah strategik negara dalam mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing,” katanya.
Mengulas perangkaan rasmi bagi tempoh 2020 hingga 2025, beliau berkata, seramai 5,530 veteran berjaya ditempatkan dalam pelbagai sektor pekerjaan sepanjang tempoh itu.
“Sepanjang 2025, seramai 573 veteran memulakan kerjaya baharu dengan sektor pembuatan menjadi majikan tertinggi yang memberi penempatan, diikuti sektor perkhidmatan dan teknikal.
“Menerusi kolaborasi strategik ini, enam inisiatif utama digerakkan bagi merealisasikan sasaran 2,500 pendaftaran, dengan penempatan melebihi 1,000 veteran,” katanya.
Tambahnya, sehingga kini, pendaftaran veteran di portal MYFutureJobs mencecah lebih 14,000 individu, sekali gus membuktikan kesedaran yang tinggi terhadap kepentingan transisi kerjaya yang tersusun.
“Setakat Januari 2026 dengan sebanyak 259 peluang pekerjaan dan penempatan industri telah ditawarkan, dan 121 veteran berjaya mendapat pekerjaan dengan skala gaji RM2,500 hingga RM5,000 dalam sektor aeroangkasa dan pengangkutan,” katanya. – UTUSAN










