PETALING JAYA: Kerajaan melalui Jabatan Insolvensi Malaysia melaksanakan ikhtiar pelepasan kebankrapan secara Fast Track membabitkan kira-kira 4,000 individu termasuk ibu dan bapa tunggal.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelepasan itu khusus kepada ibu dan bapa tunggal bagi membebaskan mereka daripada belenggu kebankrapan menjelang Aidilfitri.
“Langkah itu merupakan sebahagian daripada inisiatif kerajaan untuk meringankan beban rakyat, sekaligus memberi peluang kepada golongan yang terlibat untuk menyambut perayaan dalam suasana lebih tenang dan terjamin kewangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Perdana Menteri berkata, kerajaan turut melaksanakan beberapa inisiatif lain termasuk pemberian cuti tambahan Aidilfitri, pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan dari 14 hingga 28 Mac 2026 serta bayaran awal Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 kepada 5.2 juta penerima melibatkan RM1.3 bilion.
Selain itu, bantuan khas kewangan disalurkan kepada penjawat awam, pesara dan veteran termasuk lebih 70,000 imam, bilal, tok siak, noja, marbut serta guru KAFA dan takmir.
“Pada masa sama, hampir 1,900 Program Jualan Rahmah MADANI dilaksanakan sepanjang Ramadan bagi memastikan bekalan mencukupi dan harga barangan kekal berpatutan.
“Kerajaan juga menguatkuasakan larangan penjualan minyak masak paket bersubsidi kepada warga asing bagi memastikan subsidi dinikmati rakyat Malaysia,” katanya. – UTUSAN










