ALOR SETAR: Sekumpulan Pendatang Asing Tanpa İzin (PATI) disyaki dari Myanmar sanggup membayar sehingga RM15,000 untuk diseludup masuk ke negara ini melalui sindiket terancang dipercayai beroperasi di negara jiran.
Namun, tindakan mereka gagal apabila berjaya ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah dan Pasukan Polis Marin (PPM) di selatan Pulau Sayak, Kuala Muda, pukul 5.30 pagi, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, PATI terdiri daripada 32 warga Myanmar, tiga Bangladesh dipercayai bertindak sebagai pengangkut dan dua tekong Thailand.
“Kumpulan ini dipercayai dibawa masuk melalui darat dari negara jiran sebelum dihimpunkan di sebuah pulau selama beberapa hari, lokasi pulau itu masih dalam siasatan dan mereka kemudiannya dibawa masuk ke perairan negara menggunakan bot laju.
“Siasatan awal mendapati PATI Myanmar sanggup bayar sehingga RM15,000 untuk ke sini. Kita turut mengesan modus operandi baharu iaitu menggunakan bot laju yang kecil berbanding bot bersaiz besar dan perlahan,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.
Beliau berkata, PATI berkenaan melibatkan 36 lelaki berusia antara 15 hingga 47 tahun serta seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun.
“Dalam operasi sama, pihak berkuasa turut menemukan tiga kenderaan terdiri dua kereta dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang disyaki digunakan untuk membawa keluar PATI dari lokasi pendaratan ke destinasi masing-masing,” katanya.
Jelas Romli, kesemua tangkapan bersama bot dan kenderaan yang dianggarkan bernilai RM215,000 dibawa ke Pejabat Zon Maritim Kuala Kedah untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).
Mengulas lanjut, beliau tidak menolak kemungkinan ratusan lagi PATI dipercayai menanti masa untuk masuk ke negara ini menggunakan laluan sama.
“Sindiket ini bergerak aktif antara November hingga Mac. Jarak pelayaran hanya mengambil masa kurang tiga jam dari Tanyong Po, Satun di Thailand untuk sampai ke Pulau Sayak, jadi kita akan tingkatkan pemantauan dan rondaan,” katanya. – UTUSAN










