Imigresen gempur penempatan haram PATI

Imigresen gempur penempatan haram PATI

PENEMPATAN haram pendatang asing tanpa izin (PATI) yang digempur Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), awal pagi tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur menggempur satu penempatan koloni pendatang asing tanpa izin (PATI) di Jalan Klang Lama di sini, awal pagi tadi.

Penempatan yang berselindung di laluan utama Lebuhraya Pantai Baru (NPE) dekat Jalan Klang Lama dipercayai didirikan dengan sambungan bekalan elektrik haram.

Bukan itu sahaja, penempatan itu turut mempunyai binaan haram yang dilengkapi bilik, tandas, ruangan dapur serta ruang tamu serta fasiliti surau.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, operasi bermula pukul 2.30 pagi itu dilaksanakan hasil risikan selama seminggu.

Menurutnya, 71 orang disyaki PATI terdiri daripada 34 wanita dan 37 lelaki ditahan.

“Semakan mendapati tangkapan membabitkan 66 orang, tiga Myanmar, seorang India dan seorang Pakistan.

“Antara kesalahan dikesan ialah tinggal lebih masa, tanpa permit dan pas sah. Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, hasil tinjauan wartawan yang turut serta dalam operasi, setiap bahagian dipercayai menempatkan sekurangnya lima bilik dengan laluan sempit yang didiami warga asing termasuk pasangan suami isteri.

Lebih membahayakan apabila punca sambungan bekalan elektrik dan air digunakan mereka dibuat secara haram memandangkan penempatan itu didirikan di kawasan bandar.

Seorang penghuni dikenali sebagai Herman, 30-an berkata, dia sudah menetap di lokasi terbabit kira-kira setahun lalu dan mengakui sepanjang tempoh itu lokasi terbabit belum pernah diserbu.

“Saya duduk di sini dengan isteri dan seorang anak kecil, bayar bilik RM350 sebulan.

“Duit saya bayar pada ‘tuan rumah’ di sebelah ini. Orang Indonesia juga,” jelasnya.

Dalam serbuan itu juga, terdapat beberapa cubaan PATI melarikan diri dengan memanjat bumbung selain bersembunyi ruangan kecil, belakang pintu dan tandas serta menguncikan pintu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×