KUALA LUMPUR: Komuniti pemilik kenderaan pacuan empat roda (4WD) dari seluruh negara dijangka berhimpun dalam acara berskala besar menerusi penganjuran Event Truck Fighter & Meet Show 2.0 di Maeps, Serdang pada 20 Jun depan.
Program anjuran anjuran Zaki GM Garage Sdn. Bhd. itu dijangka menghimpunkan lebih 2,000 pemilik kenderaan 4WD dengan anggaran kehadiran 5,000 pengunjung terdiri daripada peminat 4×4, usahawan bengkel, penggiat industri automotif serta komuniti sukarelawan pacuan empat roda dari seluruh Malaysia.
Menurut kenyataan penganjur, penganjuran acara tersebut bertujuan memperkukuh solidariti komuniti pemilik 4WD yang sering memainkan peranan penting sebagai pasukan sukarelawan barisan hadapan ketika berlakunya bencana alam, khususnya dalam operasi menyelamat dan bantuan banjir di seluruh negara.
“Program berkenaan turut menjadi platform untuk mengeratkan silaturahim serta membina jaringan kerjasama antara usahawan bengkel 4×4 di Selangor dan negeri-negeri lain, sekali gus memberi impak positif kepada perkembangan ekonomi industri automotif, khususnya sektor kenderaan pacuan empat roda.
“Acara ini merupakan kesinambungan kepada kejayaan penganjuran edisi pertama yang berlangsung pada Mei tahun lalu di perkarangan Stadium Shah Alam,” katanya.
Katanya, program ini bakal disertai beberapa organisasi komuniti 4WD dari Thailand dan Singapura, sekali gus menjadikannya sebagai platform pertemuan komuniti serantau selain mempromosikan industri automotif tempatan.
Sepanjang program berlangsung, pengunjung akan disajikan dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk pameran kenderaan 4×4, pertandingan autoshow dengan 21 kategori, aktiviti off-road, gerai jualan, pameran industri serta cabutan bertuah.
Bagi menambah tarikan, pihak penganjur menawarkan hadiah utama cabutan bertuah berupa sebuah kenderaan Isuzu D-Max selain pelbagai hadiah sampingan menarik kepada para peserta.
“Penganjuran kali ini diharap mendapat sambutan menggalakkan daripada komuniti pemilik dan peminat 4WD di Malaysia sekali gus memperkukuh peranan komuniti tersebut sebagai rakan strategik dalam membantu masyarakat ketika berhadapan situasi kecemasan dan bencana alam,” katanya. – UTUSAN










