Bekalan gas negara mencukupi, rebat elektrik kekal sehingga April

Bekalan gas negara mencukupi, rebat elektrik kekal sehingga April

FADILLAH YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bekalan gas dalam negara pada masa ini adalah stabil dan mencukupi untuk menampung operasi loji jana kuasa.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, biarpun berlaku krisis geopolitik di Asia Barat yang memberi kesan kepada pasaran tenaga global, perkembangan ini tidak menjejaskan tahap ketersediaan dan jaminan bekalan elektrik negara pada masa ini.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, sistem penjanaan elektrik di Semenanjung menggunakan sekitar 40 hingga 45 peratus gas asli sebagai bahan api utama.

“Sebahagian besar bekalan gas tersebut diperoleh daripada sumber gas domestik di Kerteh serta kawasan pembangunan bersama Thailand–Malaysia Joint Development Area (JDA),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berhubung tarif elektrik, menurut Fadillah, melalui kerangka Incentive Based Regulation (IBR) di bawah tempoh Kawal Selia Keempat (Regulatory Period 4 – RP4)dari tahun 2025 hingga 2027, Kerajaan komited melindungi kebajikan pengguna daripada impak kenaikan kos bahan api global.

Katanya, sebarang perubahan kos bahan api seperti gas dan arang batu akan diselaraskan melalui mekanisme Automatic Fuel Adjustment (AFA) pada setiap bulan berdasarkan pergerakan kos bahan api sebenar di pasaran.

Pada masa ini, katanya, pengguna domestik dengan penggunaan elektrik tidak melebihi 600 kWj sebulan dikecualikan sepenuhnya daripada pelarasan kos bahan api.

“Justeru, sekitar 85 peratus pengguna domestik di seluruh negara tidak akan terkesan dengan turun naik harga bahan api di pasaran antarabangsa, sekali gus memberikan kestabilan kepada perbelanjaan isi rumah.

“Berdasarkan perkembangan semasa, kadar AFA diunjurkan kekal dalam keadaan rebat sehingga April 2026.

“Sekiranya kos bahan api global terus meningkat dan ketegangan di Asia Barat berlarutan, kadar AFA berpotensi untuk berubah pada bulan-bulan berikutnya,” katanya.

Sejak Julai 2025, beliau memberitahu, tampungan subsidi yang telah diberikan oleh kerajaan adalah berjumlah RM2.5 bilion yang disalurkan kepada pengguna melalui rebat bil elektrik sebagai insentif cekap tenaga.

Bagi memastikan perlindungan yang berterusan, Kerajaan juga sedang meneliti langkah mitigasi tambahan sekiranya konflik di Asia Barat berlarutan sehingga memberi tekanan melampau kepada kos bahan api.

“Kementerian akan terus bertindak proaktif dalam mengimbangi keterjaminan tenaga dalam negara dengan keupayaan ekonomi pengguna agar tarif elektrik kekal pada kadar yang munasabah.

“Sebagai langkah kebersamaan dalam mendepani situasi semasa, pengguna digalakkan untuk terus mengamalkan penggunaan elektrik secara cekap dan berhemah.

“Amalan jimat elektrik bukan sahaja membantu mengurangkan komitmen bil bulanan individu, malah ia merupakan sumbangan besar rakyat dalam memperkukuh kelestarian sistem tenaga negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×