17 pelaut Malaysia kekal di zon konflik Asia Barat demi tugas

17 pelaut Malaysia kekal di zon konflik Asia Barat demi tugas

KAPAL India, Nanda Devi yang membawa gas petroleum cecair (LPG) tiba di Pelabuhan Vadinar di daerah Jamnagar, negeri Gujarat pada 17 Mac 2026 selepas Iran membenarkannya melalui Selat Hormuz, laluan tenaga utama yang masih terjejas akibat perang di Asia Barat.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Walaupun berdepan risiko serangan antara Iran dengan Amerika Syarikat (AS) dan Israel, 17 pelaut yang bertugas di perairan zon konflik Asia Barat tetap bertugas atas arahan majikan dan demi memastikan kelancaran operasi perkapalan.

Presiden Persatuan Pelaut Luar Pesisir Malaysia (MOS), Kapten Tunku Ismail Tunku Yahaya berkata, namun para pelaut itu berdepan kebimbangan terhadap kemungkinan serangan mengejut di kawasan operasi mereka.

Katanya, situasi konflik yang melibatkan serangan balas antara pihak-pihak terlibat meningkatkan lagi risiko keselamatan terhadap pelaut Malaysia terlibat.

Menurut beliau, sebarang usaha untuk melaksanakan evakuasi atau pemindahan keluar juga dijangka berdepan cabaran besar sekiranya keadaan menjadi semakin buruk.

“Kebimbangan utama adalah kemungkinan serangan mengejut di lokasi kerja selain konflik yang dijangka berpanjangan.

“Namun, pelaut bersedia untuk pulang sekiranya keadaan di negara terlibat menjadi lebih teruk. Setakat ini kesemua pelaut masih kekal bertugas dan memberi tumpuan penuh kepada tanggungjawab masing-masing kerana keadaan semasa masih berada dalam kawalan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Ketegangan global susulan konflik yang semakin meruncing membabitkan AS, Israel dan Iran semakin mendalam apabila operasi ketenteraan dipergiat, ketegangan diplomatik meluas serta kebimbangan kemanusiaan meningkat di beberapa rantau.

Tunku Ismail berkata, kebanyakan syarikat perkapalan telah menyediakan pelan kontingensi bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

“Operasi masih berjalan seperti biasa tetapi dalam keadaan lebih berhati-hati. Setakat ini belum ada syarikat yang menutup operasi sepenuhnya,” ujarnya.

Katanya, setakat ini hanya seorang pelaut yang bertugas di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) telah pulang ke Malaysia pada Jumaat lalu berikutan kebimbangan terhadap tahap keselamatan yang tidak menentu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN