MERSING: Sebuah kapal kargo yang dinaiki seramai 13 kru dilaporkan karam akibat kebocoran di perairan berhampiran Pulau Seri Buat di sini semalam.
Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Suhaizan Saadin berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian tersebut melalui Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuantan kira-kira pukul 8.30 malam.
Beliau berkata, bot ronda Maritim Malaysia, Bot Penggalang 43 yang sedang melaksanakan rondaan dalam Op Jaksa, Op Tiris 3.0 dan Op Khas Pagar Laut telah digerakkan ke lokasi kejadian bagi melaksanakan operasi menyelamat.
“Setibanya di lokasi kejadian, pemeriksaan mendapati bot kargo berkenaan telah karam. Semua 13 kru bot terlebih dahulu berjaya diselamatkan sebuah bot pancing tempatan yang kebetulan berada berhampiran ketika kejadian,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Suhaizan, kesemua mangsa warga tempatan yang berusia antara 19 hingga 63 tahun kemudian dipindahkan ke Bot Penggalang 43 sebelum dibawa ke Jeti Awam Penyabong di sini, berada dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan. – UTUSAN








