“KALAU ada pengganti, elok perangai, Alhamdulillah. Tapi saya okay, sudah 10 tahun beraya solo,”
Demikian kata pelakon jelita, Marissa Yasmin ketika ditanya mengenai kehidupannya di kampung halaman bagi mengadapi lebaran tahun ini. Ketika ada sahaja yang menganggap status ‘solo’ sangat berat, hingga harus cepat-cepat cari pasangan, pelakon Walid ini sangat terbuka mengenainya.
Malah menurut Marissa, semenjak bercerai dengan bekas suami, Muhammad Muhzir Mohd Zainuddin pada 2016, hidupnya tidak pernah berasa sunyi apalagi dengan kehadiran sanak saudara dan keluarga besarnya setiap kali tiba hari raya.
“Saya masih mempunyai tok berusia hampir 100 tahun. Ibu ayah juga ada lagi belum lagi adik-beradik dan anak buah. Kami semua sangat rapat. Saya fikir, ini adalah kurniaan yang Allah beri pada saya.
“Saya tidak tergesa cari pengganti, kalau dapat yang perangai jahat, tak perlulah,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Mengenang tradisi keluarga setiap tahun, Marissa hidupnya sangat sibuk memandangkan dia adalah orang penting yang akan menentukan hidangan dan juada istimewa hari raya buat seisi keluarga.
Katanya, sambutan lebaran dalam keluarga di Kedah memang dibuat meriah dan secara besar-besaran termasuklah memasak 30 ekor ayam dan lima ekor kambing.
“Itulah cara saya merayakan Hari Raya setiap tahun. Saya sibuk di dapur dan menguruskan rumah Tok. Jadi, tidak ada istilah saya duduk termenung memikirkan kesunyian.
“Saya faham adik-beradik saya juga ada keluarga yang perlu diuruskan, jadi saya akan menjadi seorang ‘babuji’ (bos) yang akan pastikan semua kerja dapur berjalan lancar,” tambahnya.
Namun, sebagai manusia biasa, Marissa tidak menafikan bahawa ada detik-detik halus yang menyentuh hatinya apabila melihat keakraban keluarga terutama pada pagi hari raya.
“Saya manusia biasa, ada hati dan perasaan. Perasaan sedih itu tetap ada sesekali, saya tidak nafikan perkara itu.
“Kadang-kadang terdetik juga, alangkah indahnya kalau ada pasangan untuk berpakaian sedondon, untuk berkongsi rasa pegang tangan warna baju sedondon. Tetapi saya cepat-cepat alihkan perasaan itu,” kata Marissa.
Kongsi rasa jadi ibu sebagai Aunty Yam
Bagaimanapun, pengalaman lalu mengajarnya untuk tidak terburu-buru mencari pengganti. Walaupun belum mempunyai rezeki menjadi seorang ibu, kasih sayang yang ada diberikannya kepada anak saudara yang memanggilnya dengan gelaran ‘Aunty Yam’
“Saya beritahu anak-anak saudara, ‘Auntie Yam’ tak ada anak, jadi kamu semua kenalah tengokkan Auntie Yam bila Auntie Yam dah tua nanti’. Mereka semua faham dan kami sangat rapat,” katanya berseloroh.
Bagi Marissa, setiap apa yang telah tertulis di Luh Mahfuz adalah yang terbaik buat hamba-Nya. Dia juga berpesan kepada wanita di luar sana yang mengalami situasi sama untuk sentiasa berdamai dengan takdir dan berhenti membandingkan hidup sendiri dengan orang lain.
“Jangan pernah bandingkan ‘padang’ kita dengan padang jiran sebelah. Jangan tanya kenapa rumput jiran lebih hijau sedangkan rumput kita kekuningan.
“Apapun, saya selalu doa pada Allah untuk beri saya kebahagiaan dan mungkin inilah kebahagiaan untuk saya sekarang,” katanya.










