Zara Zya pernah dihina, diketawakan pelakon bernama ‘J’ - Utusan Malaysia

Zara Zya pernah dihina, diketawakan pelakon bernama ‘J’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon, Zara Zya, mengimbau pengalaman pahit apabila pernah dihina dan diketawakan seorang pelakon wanita dikenali sebagai ‘J’ ketika terlibat dalam penggambaran sebuah telefilem, beberapa tahun lalu.

Menurut Zara, insiden itu berlaku ketika dirinya masih baharu dalam industri dan belum dikenali ramai.

“Waktu itu saya masih belum dikenali. Kami menjalani penggambaran di sebuah pusat beli-belah. Pelakon itu perempuan, namanya bermula dengan huruf J.

“Ada peminat datang untuk bergambar dengannya. Itu perkara biasa kerana dia memang dikenali. Namun apa yang menyedihkan, dia datang kepada saya dan mentertawakan saya di hadapan kru produksi,” katanya menerusi perkongsian di aplikasi Threads.

Tambah pelakon drama Love You Mr. Arrogant itu, pelakon berkenaan turut melemparkan kata-kata sinis yang memperlekehkan statusnya sebagai pendatang baharu.

“Dia ketawa sambil berkata, ‘Hahaha, kau siapa? Orang tak kenal kau pun. Kau tak famous pun!’ Ayat itu diulang berkali-kali.

“Saya hanya mendiamkan diri dan teruskan kerja. Hampir tujuh hari saya perlu berhadapan dengannya. Pelbagai kata-kata hina dilemparkan kepada saya,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Zara mengakui meskipun tidak menitiskan air mata ketika kejadian itu berlaku, perasaan sedih tetap terpendam dan meninggalkan kesan mendalam.

“Bila teringat kembali, saya rasa sedih tetapi tidaklah sampai menangis. Sedih itu ‘makan dalam’. Ia mengajar saya supaya tidak sesekali menghina atau memandang rendah orang lain.

“Kita tidak tahu bagaimana rezeki kita atau rezeki orang lain pada masa hadapan. Itu pengajaran yang saya pegang hingga hari ini,” katanya.

Dalam pada itu, Zara turut menegaskan pelakon yang dimaksudkan kini sudah tidak lagi aktif dan tidak berada dalam radarnya dalam industri seni tanah air. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN