PETALING JAYA: Kaedah cerapan anak bulan atau hilal bagi menentukan tarikh bermula Ramadan yang dilaksanakan Malaysia kini menjadi rujukan di peringkat antarabangsa.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hassan berkata, pengiktirafan itu susulan pendekatan tersusun dan berautoriti yang mengintegrasikan ilmu falak syarie dengan teknologi moden,
Selain itu katanya, pelaksanaan cerapan yang konsisten dan berstandard tinggi di seluruh negara antara faktor pemilihan rujukan Malaysia di peringkat antarabangsa.
“Malaysia dikenali dengan cerapan hilal yang berkualiti dan menjadi rujukan beberapa negara luar. Banyak rujukan dibuat terhadap cerapan yang kita lakukan malah ada beberapa cerapan kita dianggap antara yang terbaik.
“Ini menunjukkan pembangunan bakat dan kepakaran falak negara telah terbukti,” katanya dalam Majlis Cerapan Rasmi Hilal Ramadan 1447 Hijrah anjuran Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan (JMWP), di sini malam semalam.
Zulkifli berkata, cerapan itu dilakukan di 29 lokasi dari Sabah hingga ke Perlis, sekali gus membuktikan kesungguhan kerajaan dalam memastikan penentuan awal Ramadan dibuat secara sistematik, telus dan berpandukan kaedah yang diiktiraf.
Beliau berkata, pemantapan ilmu falak negara turut diperkukuh dengan kerjasama strategik bersama beberapa institut pengajian tinggi (IPT) antaranya Universiti Malaya (UM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) serta beberapa universiti awam lain.
“Kita lihat di universiti, malah dari segi teknologi kita menggabungkan ilmu falak dengan ilmu dan teknologi lain. Pendekatan ‘Imkanur Rukyah’ yang diamalkan iaitu gabungan cerapan fizikal (rukyah) dan pengiraan astronomi (hisab) memperlihatkan keserasian antara disiplin tradisi Islam dan kemajuan sains semasa,” katanya.
Dalam pada itu, Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil, berkata majlis cerapan itu adalah detik penting yang menzahirkan keprihatinan kerajaan terhadap kepentingan ibadat umat Islam.
“Penentuan ini memberi kesan kepada jutaan umat Islam, justeru ia dilaksanakan dengan penuh amanah dan tanggungjawab,” katanya. – UTUSAN










