KANGAR: Bayaran zakat fitrah bagi umat Islam di negeri ini ditetapkan kadar RM9 pada tahun ini.
Bagi umat Islam yang menunaikan zakat fitrah dengan beras, kadar yang ditetapkan adalah sebanyak satu gantang nabawi bersamaan 2.6 kilogram beras.
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor berkata, penetapan kadar itu diputuskan selepas mendapat perkenan daripada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
“Setiap orang Islam yang berada di negeri ini adalah wajib mengeluarkan fitrah seperti mana ditetapkan itu bagi dirinya, anak isteri dan tangunggannnya,” katanya di sini, hari ini.
Mohd Nazim berkata, setiap umat Islam di negeri ini juga hendaklah mengeluarkan zakat fitrah menerusi amil-amil yang dilantik secara rasmi oleh MAIPs.
Katanya, pihak yang mengeluarkan zakat fitrah bukan menerusi amil dilantik adalah merupakan satu kesalahan di bawah peraturan sedia ada.
“Sesiapa jua yang tidak memberikan zakat fitrah, atau ingkar memberi fitrah dengan sepenuhnya atau di dalam mana-mana cara menghasut lain-lain orang daripadanya, membayar atau menerima fitrah bukan sebagai amil rasmi oleh MAIPs, adalah menjadi kesalahan di bawah peraturan sedia ada,” katanya.-UTUSAN










