Saya tidak bekerja ikut telunjuk sesiapa termasuk PM – Azam Baki

Saya tidak bekerja ikut telunjuk sesiapa termasuk PM – Azam Baki

AZAM BAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menegaskan beliau tidak bekerja mengikut telunjuk mana-mana pihak termasuk tidak menerima sebarang arahan daripada Perdana Menteri dalam melaksanakan tugasnya.

Menurut beliau, segala siasatan yang dijalankan adalah berdasarkan mandat yang diberikan kepadanya dan bukan atas arahan mana-mana individu.

“Saya tidak mengambil sebarang arahan. Saya hanya menjalankan siasatan. Malah, kes-kes lama atau ‘cold cases’ sekalipun akan disiasat sekiranya terdapat petunjuk atau maklumat baharu. Itu adalah mandat yang diberikan kepada saya.

“Saya akan melaksanakan tugas dan tanggungjawab saya,” katanya dalam sidang akhbar khas di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di sini hari ini.

Azam berkata, beliau tidak pernah berbincang dengan Perdana Menteri mengenai apa yang perlu disiasat kerana perkara itu bukan tertakluk untuk dirujuk kepada mana-mana pihak.

“Saya tidak pernah berbincang dengan Perdana Menteri tentang apa yang perlu saya lakukan. Saya tidak tertakluk untuk berbincang dengan beliau. Saya akan menyelesaikan perkara ini sendiri dan agensi ini,” tegasnya.

Mengulas dakwaan serta kritikan yang dilemparkan terhadapnya, termasuk membabitkan kes berprofil tinggi, Azam tidak menolak kemungkinan terdapat pihak yang kurang senang dengan siasatan yang dijalankan SPRM.

“Mungkin ada yang tidak suka saya menyiasat kes-kes berprofil tinggi. Saya tidak tahu. Mereka terus menyebarkan maklumat yang salah kepada orang ramai. Saya tidak pasti mengapa,” katanya.

Mengulas mengenai dakwaan kononnya wujud campur tangan atau kuasa tertentu dalam siasatan, Azam menegaskan SPRM merupakan satu-satunya agensi penguat kuasa di negara ini yang dipantau oleh lima jawatankuasa pemantau bebas.

“Tiga jawatankuasa diperuntukkan di bawah undang-undang, manakala dua lagi diluluskan secara pentadbiran oleh Kabinet. Tidak banyak agensi penguat kuasa di dunia mempunyai mekanisme pemantauan seperti ini,” katanya.

Beliau menjelaskan, antara jawatankuasa tersebut ialah Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) di bawah Seksyen 14 Akta SPRM 2009 yang dianggotai wakil kerajaan dan pembangkang termasuk Ahli Parlimen serta Ahli Dewan Negara, selain dipengerusikan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat.

“Komposisi itu membuktikan wujud semak dan imbang yang jelas terhadap SPRM. Justeru, saya tidak bersetuju dengan dakwaan bahawa wujud kuasa mutlak atau campur tangan dalam siasatan yang dijalankan,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN