Azam Baki hantar surat tuntutan kepada Bloomberg esok

Azam Baki hantar surat tuntutan kepada Bloomberg esok

AZAM Baki ketika ditemubual di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya di sini, hari ini. -UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki akan mengemukakan surat tuntutan (LOD) kepada portal berita antarabangsa, Bloomberg esok susulan laporan yang didakwa mencemarkan reputasinya.

Beliau berkata, tindakan itu diambil kerana laporan berkenaan mengandungi dakwaan yang disifatkan tidak tepat, mengelirukan serta berniat jahat terhadapnya khususnya berhubung isu pemilikan saham.

Beliau turut mendakwa laporan berkenaan tidak menggambarkan fakta sebenar apabila menyatakan pihaknya tidak memberikan maklum balas, sedangkan jawapan telah dikemukakan.

“Mereka ada menghubungi saya dan kami telah memberi maklum balas pada 14 Januari. Tetapi mereka mendakwa kami tidak menjawab. Itu tidak benar.

“Mereka sebenarnya telah mengelirukan orang ramai. Isu ini tercetus daripada laporan tersebut dan kemudian dipetik serta disebarkan oleh pelbagai pihak,” katanya dalam sidang akhbar khas di ibu pejabat SPRM, di sini hari ini.

Laporan portal berita antarabangsa itu sebelum ini mendakwa berhubung pemilikan saham Azam yang dianggarkan bernilai kira-kira RM800,000 dan Azam dikatakan disenarai sebagai pemegang 17.7 juta saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan, menurut pemfailan korporat dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Laporan itu mendakwa, pegangan saham didedahkan dalam penyata tahunan syarikat terlibat yang difailkan pada 3 Februari 2025.

Pada masa sama, Azam tidak menolak kemungkinan ia merupakan satu serangan peribadi yang bertujuan menjejaskan kredibilitinya.

“Mungkin. Saya tidak menafikan kemungkinan itu. Mungkin mereka mempunyai agenda tertentu

Sehubungan itu, Azam menegaskan beliau tidak mahu mengulas mengenai pihak lain, sebaliknya hanya memberi penjelasan terhadap kedudukannya bagi memastikan fakta sebenar difahami masyarakat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN