PETALING JAYA: Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz membidas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Yunus Nurdin yang menggesa Tan Sri Muhyiddin Yassin melepaskan jawatan Presiden parti.
Beliau berkata, adalah lebih baik Yunus meminta Datuk Seri Hamzah Zainudin berundur sebagai Timbalan Presiden atas kegagalan melaksanakan tugas dan peranannya sebelum ini.
Katanya, perkara itu termasuk kegagalan Hamzah sebagai Pengarah Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah serta ketidakmampuan mengawal tindakan penyokongnya yang berulang kali melanggar Perlembagaan dan disiplin Bersatu sejak tahun lalu.
“Yunus juga wajar mempertimbangkan untuk berundur kerana kedudukannya sebagai Setiausaha Negeri Badan Pimpinan Negeri Sabah menjadikannya sebahagian daripada kegagalan perancangan pada PRN Sabah.
“Sebagai Ahli MPT, tidak sewajarnya beliau keliru mengenai kuasa eksekutif Presiden Bersatu untuk berunding, di mana hasil perbincangan bersama Presiden Pas adalah berbentuk rundingan dan cadangan, bukan keputusan muktamad parti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tun Faisal mengulas desakan Yunus supaya Muhyiddin melepaskan jawatan Presiden Bersatu dan mencadangkan Hamzah memangku jawatan tersebut.
Yunus yang juga Ketua Bersatu Bahagian Libaran berkata, gesaan itu dibuat susulan penafian MPT Bersatu sebelum ini bahawa perkara yang dibincangkan Muhyiddin bersama pemimpin Pas tidak pernah dibawa, dibincang atau dipersetujui dalam mana-mana mesyuarat rasmi MPT.
Penafian tersebut juga merujuk kepada cadangan pemansuhan jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN).
Beliau mendakwa, kenyataan dan tindakan unilateral itu telah menimbulkan kekeliruan politik, mengganggu kepercayaan dalaman parti serta berpotensi merenggangkan hubungan strategik dalam gagasan PN.
Dalam pada itu, Yunus menyifatkan Hamzah sebagai calon paling sesuai menggantikan Muhyiddin kerana kepimpinannya yang memiliki kewibawaan, pengalaman serta kebijaksanaan politik untuk menyelesaikan konflik dalaman Bersatu dan PN. – UTUSAN










