LOS ANGELES: Menepati ramalan, lagu popular Billie Eilish, Wildflower, dinobatkan sebagai Lagu Terbaik Tahun Ini pada Anugerah Grammy 2026 yang berlangsung, Ahad lalu.
Kemenangan itu merupakan Anugerah Grammy ke-10 buat penyanyi berusia 24 tahun tersebut, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara artis paling berpengaruh dalam industri muzik antarabangsa ketika ini.
Eilish menerima anugerah berprestij itu bersama abangnya yang juga komposer bersama lagu berkenaan, Finneas, dengan penyampaian dibuat oleh legenda muzik, Carole King.
Bagaimanapun, kemunculan pasangan adik-beradik itu mencuri perhatian apabila masing-masing mengenakan pin bertulis “ICE Out” sebagai simbol bantahan terhadap tindakan Agensi Imigresen dan Kastam Amerika Syarikat (ICE).
Dalam ucapan kemenangannya, Eilish secara terbuka menyuarakan sokongan terhadap hak-hak pendatang serta mengecam serbuan dan tindakan agresif yang dilakukan oleh agensi berkenaan.
Beliau menegaskan bahawa suara rakyat perlu terus disuarakan melalui perjuangan dan bantahan secara aman demi menegakkan keadilan kemanusiaan.
“Tiada siapa yang dianggap tidak sah di atas tanah yang dirampas,” katanya.
Sebelum meninggalkan pentas, Eilish turut melontarkan kenyataan keras terhadap ICE, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan penonton dan pemerhati industri hiburan.
Wildflower berjaya menewaskan beberapa pencalonan kuat lain termasuk kolaborasi Rosé dan Bruno Mars menerusi APT., DtMF nyanyian Bad Bunny, Golden oleh Huntr/x daripada KPop Demon Hunters, Luther nyanyian Kendrick Lamar dan SZA, Manchild oleh Sabrina Carpenter, Abracadabra oleh Lady Gaga serta Anxiety oleh Doechii.
Lagu tersebut merupakan single keempat daripada album studio ketiga Eilish, Hit Me Hard and Soft, yang dilancarkan pada 2024.
Untuk rekod, Eilish sebelum ini pernah memenangi Lagu Terbaik Tahun Ini pada Anugerah Grammy 2020 menerusi Bad Guy, serta pada 2024 menerusi What Was I Made For? daripada runut bunyi filem Barbie yang turut memenangi Anugerah Akademi. Beliau juga pernah merangkul Album Terbaik Tahun Ini menerusi When We All Fall Asleep, Where Do We Go? -UTUSAN










