PETALING JAYA: Keuntungan bersih Wasco Berhad (Wasco) meningkat 67.8 peratus kepada RM57.3 juta bagi suku keempat tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, didorong perkembangan operasi yang lebih positif apabila projek memasuki fasa pelaksanaan yang bermargin lebih baik, selain pengurusan kos yang berdisiplin.
Syarikat mencatatkan hasil sebanyak RM592.4 juta pada suku sama, susut 1.3 peratus berbanding suku sebelumnya.
Bagi keseluruhan tahun kewangan, Wasco merekodkan hasil sebanyak RM2.6 bilion, manakala keuntungan bersih sebanyak RM158.3 juta, sekali gus menandakan tahun ketiga berturut-turut kumpulan mencatatkan pendapatan positif dalam persekitaran operasi berasaskan projek yang bersifat kitaran.
Seiring dengan prestasi kewangan tersebut, Wasco turut memperkukuh kedudukan kemampanannya dengan peningkatan skor Indeks FTSE4Good Bursa Malaysia kepada 4.4 bagi tahun kewangan 2025 berbanding 4.1 sebelum ini.
Peningkatan ini mencerminkan peningkatan prestasi dalam aspek tadbir urus, pengurusan alam sekitar dan tanggungjawab sosial.
Perkembangan positif ini membuktikan komitmen kumpulan yang membuahkan hasil untuk mengintegrasikan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam pelaksanaan operasi, pengurusan risiko serta strategi jangka panjang, sekali gus memperkukuh keselarasan antara disiplin kewangan dan penciptaan nilai mampan.
Lembaga pengarah kumpulan telah mencadangkan dividen akhir sebanyak 3 sen sesaham serta dividen khas sebanyak 1 sen sesaham bagi tahun kewangan2025, menjadikan jumlah keseluruhan dividen sebanyak 4 sen sesaham.
Sehingga 31 Disember 2025, Wasco mengekalkan kedudukan tunai bersih sebanyak RM49.2 juta, sekali gus memperkukuh fleksibiliti kewangan bagi menyokong pulangan berterusan kepada pemegang saham di samping peluang pelaburan semula untuk pertumbuhan mampan.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wasco Berhad, Giancarlo Maccagno berkata, pencapaian Keuntungan Selepas Cukai terkumpul sebanyak RM470 juta sepanjang tiga tahun berturut-turut dalam industri berasaskan projek mencerminkan keuntungan yang mampan serta disiplin dalam operasi syarikat.
“Dengan kedudukan tunai bersih serta pembayaran dividen yang berterusan, termasuk dividen khas pada tahun ini, kami menunjukkan keyakinan terhadap kemampanan keuntungan kami.
“Pada masa yang sama, skor Indeks FTSE4Good Bursa Malaysia kami meningkat kepada 4.4 berbanding 4.1 sebelum ini, termasuk pencapaian skor maksimum 5.0 bagi tema Sosial.
“Ini mencerminkan pengukuhan pengawasan tadbir urus serta penekanan berterusan terhadap piawaian buruh, keselamatan dan kesihatan pekerjaan serta amalan perniagaan yang bertanggungjawab,” jelasnya. – UTUSAN










