PETALING JAYA: Keuntungan bersih Oriental Kopi Holdings Berhad (Oriental Kopi) meningkat 30.2 peratus kepada RM17 juta pada suku pertama tahun kewangan 2026 bagi tempoh berakhir 31 Disember 2025 berbanding RM13.1 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.
Bagi tempoh itu, kumpulan merekodkan hasil sebanyak RM139.2 juta, meningkat 42.3 peratus berbanding RM97.8 juta pada suku sama tahun kewangan sebelumnya.
Pertumbuhan tersebut didorong terutamanya oleh sumbangan lebih kukuh daripada operasi rangkaian kafe, disokong permintaan berterusan daripada pelanggan tempatan serta pelancong antarabangsa.
Pengarah Urusan Oriental Kopi, Datuk Calvin Chan Jian Chern berkata, sebagai sebahagian strategi pertumbuhan, syarikat akan terus mengembangkan rangkaian kafe, meneroka pasaran luar negara, serta memperkenalkan menu dan produk makanan berbungkus baharu.
“Kami juga sedang melaksanakan inisiatif melibatkan pengedar luar negara bagi memperkukuh promosi jenama produk makanan berbungkus di pasaran antarabangsa,” katanya dalam kenyataan.
Selain itu, hasil daripada segmen pengedaran dan runcit produk makanan berbungkus kumpulan turut bertambah sejajar peningkatan volum jualan.
Operasi rangkaian kafe kekal sebagai penyumbang utama hasil Kumpulan dengan RM125.5 juta atau 90.2 peratus daripada jumlah hasil.
Ini diikuti segmen pengedaran dan runcit produk makanan berbungkus yang menyumbang RM12.3 juta atau 8.9 peratus, manakala baki hasil diperoleh daripada segmen lain.
Dari sudut operasi, kumpulan terus mengukuhkan kehadirannya dengan menutup tahun kewangan berakhir 30 September 2025 dengan 25 kafe beroperasi di seluruh Malaysia, selain tiga kafe antarabangsa di Singapura menerusi usaha sama dengan Paradise Group Holdings Pte Ltd.
Sehingga 30 Januari 2026, kumpulan menambah empat cawangan baharu di Queensbay Mall, Pulau Pinang, KLIA Terminal 2 Boarding Hall, KLIA Terminal 1 dan Sunway Velocity, Kuala Lumpur, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kafe di Malaysia kepada 29 buah.
Sementara itu, pada Januari 2026, Oriental Kopi melancarkan kempen “Truly Malaysian Taste” dengan kerjasama Tourism Malaysia bagi mengetengahkan warisan kulinari tempatan.
Di bawah kerjasama itu, produk makanan berbungkus kumpulan, khususnya kopi putih, kaya dan sambal, dipilih sebagai produk istimewa Malaysia untuk promosi bersama.
Menurut beliau, dengan kebanyakan kafe terletak secara strategik di pusat beli-belah utama serta terminal lapangan terbang, kumpulan berada pada kedudukan baik untuk menarik pengguna tempatan dan pelancong antarabangsa.
“Memandang ke hadapan, kami optimis terhadap peluang yang dibawa oleh Tahun Melawat Malaysia 2026 dan menantikan kehadiran lebih ramai pengunjung untuk memperkenalkan jenama Oriental Kopi ke pasaran global,” ujarnya. –UTUSAN










