KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memberi jaminan bahawa isu melibatkan seorang pelajar yang disyaki menghina Islam di media sosial sedang disiasat dan akan diselesaikan segera.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau mengambil tindakan sendiri terhadap insiden yang berlaku ketika umat Islam sedang berpuasa.
Menurutnya, tindakan pelajar terbabit serius dan tidak beradab, yang berpotensi menjejaskan keharmonian masyarakat berbilang kaum.
“Setakat ini, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah membuat laporan polis, dan siasatan sedang dijalankan. Sebarang tindakan lanjut di peringkat KPT akan diumumkan selepas siasatan selesai,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Zambry berkata, kerajaan dan KPT akan memastikan isu ini tidak disalahgunakan oleh mana-mana pihak yang berpotensi mencetuskan ketegangan dalam masyarakat.
Zambry juga mengingatkan semua pihak supaya menghormati proses siasatan dan memberi kepercayaan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan sewajarnya.
“Kita tidak akan mengambil mudah perkara ini kerana perbuatan sebegini boleh mengugat keharmonian antara kaum di negara ini,” katanya.
Sebelum ini media melaporkan, Seorang pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) ditahan polis hari ini untuk siasatan kerana disyaki menghina Islam di media sosial.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, berkata penuntut terbabit ditahan awal pagi ini di sini.
“Polis sudah menahan penuntut disyaki menghina Islam dan untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi.
Sejak semalam tular gambar kaki seorang lelaki dewasa memijak al-Quran dan tangkap layar hantaran individu didakwa penuntut UMPSA di media sosial. – UTUSAN










