Untung bersih Maybank RM10.51 bilion pada 2025

Untung bersih Maybank RM10.51 bilion pada 2025

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Prestasi kewangan Maybank kekal mengukuh apabila kumpulan perbankan terbesar negara itu mencatat keuntungan bersih RM10.51 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, meningkat 4.2 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Prestasi itu disokong oleh pertumbuhan pendapatan stabil, pengurusan kos berdisiplin serta kualiti aset yang berdaya tahan.

Lembaga Pengarah mengisytiharkan dividen interim kedua tunai penuh sebanyak 33 sen sesaham, menjadikan jumlah dividen bagi tahun kewangan 2025 sebanyak 63 sen sesaham.

Ini bersamaan nisbah pembayaran dividen sebanyak 72.4 peratus dan hasil dividen sebanyak 6.0 peratus.

Pengerusi Maybank, Tan Sri Ir. Zamzamzairani Mohd. Isa berkata, prestasi setahun penuh Maybank mencerminkan daya tahan francais yang pelbagai serta kekuatan kedudukan kunci kira-kira kumpulan.

“Kumpulan telah mencatat peningkatan dalam keuntungan dan pulangan sambil mengekalkan penampan modal dan kecairan yang kukuh, disokong oleh pengurusan risiko yang berhemat serta pelaksanaan yang berdisiplin.

“Dalam melaksanakan peranan kami terhadap pembangunan negara, kumpulan kekal komited
untuk memperluas akses kepada perkhidmatan kewangan serta menyokong komuniti melalui pertumbuhan yang inklusif dan mampan.

“selaras dengan aspirasi Menginsankan Perkhidmatan Kewangan dengan meletakkan keperluan pelanggan sebagai teras keutamaan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, walaupun ketidaktentuan global berterusan, permintaan domestik di pasaran utama bank itu terus memberikan sokongan asas yang kukuh.

“Lembaga Pengarah kekal memberi tumpuan untuk memastikan Maybank berada pada kedudukan yang mantap dalam menavigasi perubahan persekitaran dengan tadbir urus yang berwibawa, daya tahan kewangan serta pertumbuhan mampan sebagai teras.

“Ini di samping memperkasa perniagaan dan ekonomi untuk membuka peluang baharu bagi pertumbuhan dan inovasi.

“Dalam masa yang sama, kami akan terus menyampaikan dividen yang konsisten, mencerminkan keyakinan pihak berkepentingan terhadap ketahanan pendapatan dan kekuatan modal kumpulan,” ujarnya.

Sementara itu, keuntungan sebelum cukai (PBT) meningkat 4.6 peratus tahun ke tahun kepada RM14.33 bilion, mencerminkan prestasi operasi yang lebih kukuh dan kos kredit yang lebih rendah sepanjang tahun.

Pendapatan operasi bersih pula meningkat 2.7 peratus tahun ke tahun kepada RM30.38 bilion, didorong oleh peningkatan pendapatan berasaskan dana bersih kepada RM20.23 bilion dan pendapatan bukan faedah (NoII) kepada RM10.15 bilion, masing-masing meningkat 2.7 peratus tahun ke tahun.

Margin pendapatan bersih (NIM) kekal stabil pada 2.05 peratus walaupun terdapat pelarasan kadar di beberapa pasaran.

Bagi suku keempat 2025, untung bersih kumpulan meningkat 5.7 peratus kepada RM2.68 bilion, manakala PBT meningkat 9.0 peratus kepada RM3.72 bilion.

Prestasi yang lebih kukuh ini disokong oleh pendapatan berasaskan dana bersih lebih tinggi serta peruntukan rosot nilai bersih lebih rendah, mencerminkan daya tahan portfolio berterusan dan keadaan kredit yang bertambah baik berbanding suku yang sama tahun sebelumnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×