Tukar nama bil meter, elak penyewa salah guna

Tukar nama bil meter, elak penyewa salah guna

FADILLAH YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pemilik premis disaran menukar akaun elektrik mereka kepada nama penyewa bagi mengelak menanggung bil tertunggak akibat kegiatan haram seperti perlombongan mata wang kripto.

Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Fadillah Yusof berkata, teknologi pemantauan kini membantu pihak berkuasa mengesan kecurian elektrik dengan lebih berkesan sekali gus membolehkan tindakan tegas diambil.

Katanya, langkah kesedaran itu penting bagi mengelakkan pemilik menjadi mangsa dan terpaksa menanggung bil elektrik tertunggak yang tinggi akibat kegiatan tidak sah penyewa.

“Yang lebih utama sekarang ini adalah untuk kita memberi kesedaran kepada pengguna terutamanya pemilik rumah.

“Bila dia (pemilik) sewakan premis kediaman atau premis perniagaan, dia tidak tukarkan meter kepada penyewa, itu yang banyak menjadi mangsa sekarang ini,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Abdul Khalib Abdullah (PN-Rompin) mengenai keberkesanan kerjasama rentas agensi dalam melakukan serbuan berdasarkan data masa nyata (real time) di Dewan Rakyat, hari ini.

Tambahnya, kerajaan kini merangka pendekatan bersesuaian bagi membantu pemilik premis yang menjadi mangsa supaya bebas daripada beban tunggakan berpunca daripada perbuatan penyewa.

“Itu kesedaran yang patut kita berikan supaya mereka tidak menjadi mangsa orang menyewa tapi sebenarnya menjalankan kegiatan kripto. Ini banyak berlaku sekarang.

“Kita sedang mencari jalan bagaimana kita nak membantu supaya yang betul-betul innocent (tidak bersalah) ini dapat kita bantu. Kadang-kadang bil tertunggak sampai ratusan ribu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN