Tipu hadiah loteri: Dua lelaki Indonesia dipenjara dua tahun - Utusan Malaysia

Tipu hadiah loteri: Dua lelaki Indonesia dipenjara dua tahun

RASYID Arsyad (depan) dan Mustari (belakang) dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Majistret Teluk Intan selepas mengaku bersalah menipu seorang lelaki warga emas berhubung hadiah kemenangan loteri bulan lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Dua lelaki warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah menipu seorang lelaki warga emas berhubung hadiah kemenangan loteri, bulan lalu.

Tertuduh, Rasyid Arsyad, 52, dan Mustari, 55, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Naidatul Athirah Azman.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh dalam mencapai niat bersama telah menipu seorang lelaki warga emas berusia 77 tahun dengan memperdaya mangsa mempercayai mereka telah memenangi wang loteri hingga mendorong lelaki terbabit menyerahkan wang tunai berjumlah RM15,000.

Perbuatan tersebut dilakukan tertuduh di Eco Shop, Medaniaga Lagenda, Hutan Melintang dalam daerah Bagan Datuk pada pukul 11 pagi, 19 Januari 2026.

Pertuduhan ke atas mereka dikemukakan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding sama, kedua-dua tertuduh turut mengaku bersalah kerana memasuki Malaysia tanpa pas yang sah di pekarangan Balai Polis Hutan Melintang, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bagan Datuk pada pukul 1.30 petang, 3 Februari 2026.

Bagi kesalahan itu, pertuduhan dijalankan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan dihukum mengikut Seksyen 6(3) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali, serta sebatan tidak lebih enam sebatan.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman lima bulan penjara bagi kesalahan tersebut dan kedua-dua hukuman penjara berjalan serentak dari tarikh ditangkap pada 3 Februari lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Darwis Aghniya Halim Azizi manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam bela, Fautina Francis.

Mengikut fakta kes, mangsa telah mengikut dua lelaki tidak dikenali ke sebuah kedai loteri kononnya bagi urusan menuntut hadiah kemenangan berjumlah RM200,000 menggunakan kad pengenalannya, sebelum ditawarkan ganjaran sebanyak RM10,000.

Dalam perjalanan ke lokasi tersebut, mangsa telah dipujuk untuk menyerahkan wang tunai RM15,000 dengan alasan kononnya ibu saudara Mustari memerlukan wang rawatan di mana wang itu akan dipulangkan semula bersama ganjaran kemenangan loteri.

Setibanya di lokasi, mangsa menyerahkan wang tunai RM15,000 kepada tertuduh sebelum ditunjukkan sekeping cek yang dikatakan hanya boleh ditunaikan keesokan hari.

Mangsa kemudian dihantar untuk membuat salinan kad pengenalan, namun kedua-dua tertuduh melarikan diri sebaik sahaja mangsa keluar dari kenderaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN