KUALA TERENGGANU: ‘Siapa pun yang lihat video itu pasti marah.’
Demikian luahan kekecewaan Presiden Kelab Penyokong Bolasepak Terengganu Darul Iman (TFFC), Mazuki Muhamad berhubung kejadian sekumpulan penyokong pasukan bola sepak berarak dari Bandaraya Kuala Terengganu menuju ke dataran Jambatan Angkat, sambil membawa bendera pasukan dan menyalakan suar ketika berada di kawasan tersebut, petang semalam.
Perarakan itu turut dikatakan menutup jalan utama menghala ke Seberang Takir, sekali gus mengakibatkan kesesakan lalu lintas teruk terutama pada waktu puncak pulang kerja.
Mazuki berkata, penduduk Terengganu sentiasa menyambut baik kehadiran semua penyokong pasukan pelawat ke negeri ini namun kejadian semalam disifatkan keterlaluan dan tidak beradab.
“Tidak salah untuk berarak tetapi apa yang berlaku semasa kejadian itu sehingga menghalang laluan kenderaan dan mengakibatkan kesesakan teruk adalah keterlaluan serta menimbulkan kemarahan.
“Bukan kami sahaja yang marah, saya pasti semua rakyat Terengganu yang melihat video tular kejadian itu pun marah,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, lebih 30 penyokong pasukan bola sepak Selangor FC dilaporkan dibawa ke Mahkamah Majistret di sini hari ini untuk mendapatkan perintah tahanan reman ekoran kejadian mengganggu ketenteraman awam dan menimbulkan kegusaran di sepanjang laluan Jambatan Angkat Kuala Terengganu, semalam.
Semua yang ditahan dibawa ke mahkamah kira-kira pukul 10.15 pagi ini selepas ditahan malam tadi bagi menjalani pemeriksaan saringan air kencing.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan kes itu.
Katanya, mereka yang ditahan adalah antara 400 penyokong yang ditahan malam tadi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan berhubung kejadian yang berlaku.
Dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak malam tadi, TFC dan Selangor FC terikat 1-1. – UTUSAN










