Tiada masalah terbit lagu raya asalkan masih hormat bulan puasa - Syamel - Utusan Malaysia

Tiada masalah terbit lagu raya asalkan masih hormat bulan puasa – Syamel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Penyanyi, Syamel, berpandangan pelancaran lagu raya pada bulan Ramadan bukanlah satu tindakan kurang sensitif asalkan pengkarya memahami batas dan adab yang perlu dijaga.

Syamel atau Syameel Aqmal Mohd. Fodzly, 33, berkata setiap pengkarya mempunyai strategi pemasaran tersendiri bagi mengelakkan lambakan lagu yang diterbitkan serentak pada saat akhir.

“Tidak dinafikan tahun ini ramai yang mengeluarkan lagu raya dan ada juga berpendapat tindakan itu kurang sensitif kerana belum apa-apa lagi lagu raya sudah dilancarkan.

“Bagi saya, semua orang bebas melakukan apa sahaja asalkan menghormati perkara yang sepatutnya,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran single terbaharu, Suasana Raya, di IOI City Mall, semalam.

Menurutnya, jika semua lagu dilancarkan serentak di penghujung Ramadan, ia mungkin menimbulkan cabaran dari segi strategi promosi.

“Jika semuanya keluar serentak di hujung-hujung nanti, mungkin sukar dari segi penggunaan susunan muzik dan sebagainya.

“Jadi bagi saya, tiada masalah asalkan masing-masing menghormati Ramadan ketika mempromosikan lagu,” ujarnya.

Tambah Syamel, mempromosikan karya adalah sebahagian daripada tanggungjawab penyanyi bagi memastikan lagu mereka sampai kepada pendengar.

“Macam saya dan Ernie Zakri, apabila sudah melancarkan lagu raya, sudah tentu kami mahu mempromosikannya. Asalkan promosi itu masih dalam fasa menghormati Ramadan, semuanya okey dan tiada masalah,” katanya.

Mengulas mengenai lambakan lagu raya sama ada daripada rakan seindustri mahupun pempengaruh, Syamel berkata dia dan isterinya sentiasa terbuka serta menantikan karya baharu daripada semua pihak.

“Malah bagi saya dan Ernie, selepas selesai urusan kerja, kami akan mendengar semua lagu yang dilancarkan termasuklah lagu Siti Nurhaliza dan lain-lain.

“Ia sudah menjadi aktiviti wajib setiap tahun iaitu menunggu lagu raya orang lain keluar,” katanya.

Sementara itu, Ernie Zakri mengakui beliau tidak mempunyai formula khusus untuk menghasilkan lagu malar segar, sebaliknya percaya kepada kepentingan karya yang dekat dengan jiwa pendengar.

“Apabila menghasilkan lagu raya, perlu ada elemen yang apabila orang dengar, terus terasa ‘ini lagu raya’.

“Namun pada zaman sekarang, kita tidak boleh menentukan sama ada lagu itu akan menjadi ‘evergreen’ atau tidak kerana generasi yang akan menilainya ialah anak-anak kita nanti.

“Bagi saya dan Syamel, lagu raya kami mungkin berbeza zaman dengan lagu raya yang akan didengar oleh anak kami. Soal malar segar atau trend banyak bergantung kepada generasi. Yang penting, pendengar boleh ‘relate’ dan mesej raya itu sampai, insya-Allah,” katanya.

Menurut Ernie lagi, setiap tahun menyaksikan persaingan sihat apabila ada lagu yang meledak, namun pengkarya tetap tampil dengan karya baharu.

“Tahun lalu kita lihat beberapa lagu benar-benar meletup, tetapi tahun ini mereka tetap menghasilkan lagu baharu. Itu sesuatu yang kami gemari dan yang penting untuk pendengar di luar sana,” ujarnya.

Terdahulu, Syamel dan Ernie melancarkan single Suasana Raya sempena Aidilfitri tahun ini, yang juga merupakan lagu duet raya kedua mereka selepas Seru Hari Lebaran pada 2019.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN