PETALING JAYA: Malaysia dijangka menyaksikan fenomena gerhana bulan penuh pada 3 Mac ini bertepatan dengan malam 14 Ramadan 1447 Hijrah.
Fenomena itu merupakan satu-satunya gerhana bulan penuh yang berlaku tahun ini, manakala gerhana penuh seterusnya dijangka hanya berlaku pada 31 Disember 2028.
Gerhana penuh kali ini boleh disaksikan di Asia Timur, Australia, Lautan Pasifik, Amerika Utara dan Amerika Tengah.
Bagi Asia Tengah dan sebahagian besar Amerika Selatan pula, hanya gerhana bulan separa akan berlaku.
Menurut Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), gerhana bulan berlaku apabila bumi berada di antara matahari dan bulan sehingga bayang-bayang bumi menutupi keseluruhan permukaan bulan.
Jelasnya, fenomena tersebut menyebabkan bulan kelihatan kemerahan yang sering dirujuk sebagai “Bulan Merah”.
“Fasa Separa (U1) bermula pada pukul 5.50 petang dan seterusnya memasuki fasa penuh (U2) pada 7.04 petang dengan kemuncak gerhana (GE) pada pukul 7.33 petang.
“Fasa penuh akan berakhir pada 8.02 malam sebelum kembali ke fasa separa (U3) sehingga pukul 9.17 malam.
“Bagi kebanyakan negeri di Semenanjung Malaysia, bulan akan terbit ketika fasa penuh dan berkemungkinan sukar dilihat kerana keadaan langit senja yang masih agak terang,” katanya.
Tambahnya, bagi Kuala Lumpur, ketinggian bulan di ufuk timur ketika kemuncak gerhana dianggarkan sekitar dua darjah dari ufuk.
Katanya, Sabah dan Sarawak pula mempunyai peluang lebih tinggi untuk mencerap fenomena itu kerana bulan terbit lebih awal dan berada pada sudut yang lebih tinggi.
“Tempoh keseluruhan gerhana mengambil masa kira-kira lima jam 39 minit, manakala fasa penuh berlangsung hampir 58 minit.
“Gerhana bulan boleh dilihat dengan mata kasar bergantung kepada keadaan cuaca. Namun penggunaan binokular atau teleskop akan membantu untuk melihat fenomena ini dengan lebih jelas,” katanya. – UTUSAN










