KUBANG PASU: Polis menahan tujuh suspek yang disyaki terlibat dalam kejadian tembakan terhadap Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir.
Kesemua mereka termasuk sepasang suami isteri berusia antara 22 hingga 52 tahun diberkas pada hari kejadian bermula pukul 10.30 pagi hingga 6 petang dalam operasi bersepadu yang digerakkan pihak polis.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, enam daripada suspek merupakan lelaki warga tempatan dan wanita terbabit berasal dari Thailand yang kesemua mereka tinggal berhampiran lokasi kejadian.
“Hasil risikan dibuat, polis berjaya menahan mereka pada hari kejadian di rumah masing-masing, manakala pasangan suami isteri terbabit ditangkap kira-kira pukul 12.30 tengah hari ketika mahu ke Thailand melalui pintu sempadan Padang Besar di Perlis.
“Siasatan lanjut yang dibuat pihak forensik berjaya mengesan residu tembakan (GSR) pada bahagian pipi dan tangan dua daripada suspek terbabit yang merupakan petunjuk positif kepada kejadian terbabit,” katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 5.40 pagi kelmarin, Proton X70 dipandu Mohd. Nasaruddin ditembak dua das dari jarak satu meter oleh dua suspek yang menaiki motosikal. Beliau dalam perjalanan menunaikan solat Subuh di Masjid Al-Muhajirin Bukit Kayu Hitam.
Adzli berkata, kesan GSR yang ditemukan itu juga pada masa sama menafikan pertikaian pelbagai pihak kononnya polis melakukan tangkapan tanpa asas, meskipun senjata yang digunakan dalam kejadian itu belum ditemukan.
Sementara itu, ujar beliau, lima suspek yang ditahan juga melakukan aktiviti motosikal penambang yang menghantar pengembara dari kawasan parkir awam ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam untuk ke Thailand.
Tambahnya, enam daripada suspek positif dadah jenis ketamin dan methamphetamine, dengan empat suspek juga memiliki tujuh rekod lampau jenayah termasuk Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 135 Akta Kastam 1967 akibat penyeludupan beras.
“Rekod lain termasuk di bawah Seksyen 376B iaitu rogol; Seksyen 3 (1) Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA); Seksyen 326 Kanun Keseksaan; Seksyen 130V Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) dan Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955,” katanya.
Ujar Adzli, lima daripada suspek terbabit kini direman selama lima hari sehingga 1 Mac, seorang lagi direman dua hari yang berakhir hari ini dan akan disambung reman serta wanita terbabit ditahan selama 14 hari di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63.
Katanya, polis turut merampas dua buah motosikal jenis Honda dan Yamaha termasuk sebuah yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu, sembilan telefon bimbit dan lima set pakaian. – UTUSAN










