PETALING JAYA: Kira-kira 3.27 juta kenderaan dijangka akan menggunakan lebuh raya utama sempena sambutan Tahun Baharu Cina kali ini.
Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata, peningkatan trafik dijangka bermula seawal 13 Februari melibatkan aliran ke arah utara, selatan dan pantai timur, sejajar pengumuman kerajaan memberikan diskaun tol 50 peratus.
Katanya, jumlah trafik tertinggi dijangka direkodkan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dengan anggaran 2.2 juta kenderaan, diikuti Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) sekitar 275,000 kenderaan serta Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak kira-kira 210,000 kenderaan.
“LLM menjangkakan akan berlaku peningkatan jumlah trafik di lebuh raya utama seawal hari Jumaat 13 Februari bagi pengguna lebuh raya yang menuju ke arah utara, selatan dan pantai timur.
“Di samping itu, adalah dijangka jumlah trafik yang menggunakan lebuh raya utama dan lebuh raya sambungan ke lebuh raya utama mampu mencapai 3.27 juta kenderaan pada hari puncak sempena sambutan Tahun Baharu Cina ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan kerajaan bersetuju memberikan diskaun tol sebanyak 50 peratus sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2026, bermula Sabtu hadapan.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pelaksanaan diskaun berkenaan akan bermula pada pukul 12.01 tengah malam, 14 Februari 2026 (Sabtu) dan berakhir pada pukul 11.59 malam, 15 Februari 2026 (Ahad).
Tambah kenyataan itu, bagi memastikan perjalanan lebih lancar dan selamat, LLM mengarahkan syarikat konsesi lebuh raya melakukan persediaan rapi termasuk memastikan tiada penutupan lorong kecuali bagi kerja kecemasan sepanjang tempoh 12 hingga 23 Februari ini.
Katanya, laluan ‘smart lane’ turut diaktifkan di 32 lokasi dikenal pasti khususnya di Lebuhraya PLUS bagi membantu melancarkan aliran trafik di kawasan kerap sesak. – UTUSAN










