KUANTAN: Oceanscape International Limited, sebuah syarikat tersenarai di Bursa Singapura (SGX) menyatakan minat untuk melabur dalam sektor tenaga boleh baharu (TBB) di negeri ini dengan nilai pelaburan dianggarkan mencecah RM10 bilion.
Negeri ini menjadi pilihan syarikat tersebut kerana mempunyai kawasan berpotensi dan luas untuk dijadikan tapak pembangunan tenaga boleh diperbaharui berimpak tinggi.
Pengerusi Eksekutifnya, Lang Jinjun berkata, pelaburan tersebut bakal memberikan tumpuan kepada pembangunan tenaga hijau termasuk projek solar berskala besar, hidro mini, tenaga angin, dan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) yang mesra alam.
Menurutnya, Pahang mempunyai potensi besar dalam menjana tenaga boleh diperbaharui kerana faktor geografi dan sokongan dasar kerajaan terhadap agenda kelestarian global.
“Pelaburan ini bukan sahaja akan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab tenaga hijau di rantau ini, malah membuka peluang pekerjaan dan meningkatkan ekonomi setempat.
“Pada ketika ini, perbincangan lanjut sedang diadakan bagi memastikan projek itu dapat direalisasikan mengikut masa dan garis panduan yang ditetapkan,” katanya.
Pelaburan ini juga akan menyokong usaha negara mencapai sasaran neutral karbon menjelang 2050, sejajar dengan komitmen Malaysia terhadap Perjanjian Paris dan agenda kelestarian global.
Dengan nilai pelaburan yang besar, projek tenaga boleh diperbaharui di Pahang dijangka menjadi antara yang terbesar di Malaysia, sekali gus mengukuhkan imej negara sebagai peneraju tenaga hijau di Asia Tenggara.
Jinjun turut menekankan bahawa pelaburan tersebut akan melibatkan pemindahan teknologi dan kepakaran dari China dan Singapura ke Malaysia, sekali gus memperkukuh kerjasama serantau dalam bidang tenaga boleh diperbaharui.
“Projek itu juga akan menjana peluang pekerjaan baharu dan merancakkan ekonomi penduduk setempat, terutama di kawasan luar bandar yang terlibat secara langsung dengan pembangunan tenaga hijau,” katanya.
Menurutnya, beliau mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam bidang tenaga boleh diperbaharui melalui syarikatnya di China, Shandong Seascape New Energy Technology, Co. Ltd.
“Kami sudah melaksanakan lebih lapan projek di beberapa lokasi sekitar wilayah Shangdong, China, sekali gus membuktikan keupayaan dan rekod pencapaian yang kukuh,” katanya. – UTUSAN










