PETALING JAYA: Penetapan syarat simpanan minimum oleh Lembaga Tabung Haji (TH) bagi melayakkan bakal jemaah menerima tawaran haji, selari dengan konsep istito’ah yang menetapkan kemampuan kewangan sebagai syarat wajib menunaikan ibadat itu.
Mufti Pulau Pinang, Prof. Madya Dr. Mohd Sukki Othman berkata, memahami konsep istito’ah dari sudut kewangan sangat penting kerana ia menentukan sama ada haji itu sudah menjadi wajib atau belum ke atas seseorang.
Menurut beliau, Allah SWT berfirman menerusi Surah Ali ‘Imran ayat 97 yang meletakkan syarat bagi sesiapa yang mampu untuk menunaikan ibadat tersebut.
Jelasnya, ulama turut menjelaskan bahawa kemampuan kewangan bukan sekadar cukup tambang sahaja tetapi merangkumi kos penuh perjalanan dan pengurusan haji, nafkah mencukupi untuk tanggungan yang ditinggalkan serta tidak menanggung hutang membebankan.
“Haji bukan ibadah yang menuntut seseorang berhutang atau mengorbankan keperluan asas keluarga. Jika seseorang memaksakan diri sehingga menjejaskan pendidikan anak, bayaran rumah atau keperluan harian, maka itu bercanggah dengan maqasid syariah.
“Maka kefahaman istito‘ah mengelakkan dua ekstrem iaitu pertama, terlalu longgar sehingga melengah-lengahkan haji walaupun mampu dan kedua, terlalu ghairah sehingga memaksa diri di luar kemampuan sebenar,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mohd Sukki berkata, penetapan kadar tertentu oleh TH perlu dilihat sebagai sebahagian daripada mekanisme pentadbiran dan pengurusan kos sebenar haji.
“Dalam konteks semasa, kos sebenar haji jauh lebih tinggi berbanding jumlah yang dibayar oleh jemaah, kerana sebahagiannya disubsidi.
“Maka penetapan jumlah minimum seperti RM15,000 boleh difahami sebagai penanda aras kemampuan asas kewangan, saringan awal bagi memastikan bakal jemaah mempunyai persediaan minimum dan langkah pengurusan agar tidak berlaku ketidakseimbangan dana,” katanya.

Beliau berkata, dari sudut fiqh, pihak berautoriti boleh menetapkan garis panduan pentadbiran berdasarkan maslahah umum selagi tidak bercanggah dengan prinsip syarak, ia termasuk dalam konsep siyasah syar‘iyyah.
“Namun, penilaian istito‘ah sebenar tetap lebih luas daripada angka semata-mata. Ada yang mungkin cukup RM15,000 tetapi masih menanggung komitmen besar, ada juga yang simpanannya sederhana tetapi komitmennya ringan.
Pada 10 Januari lalu, TH dilapor memperkenalkan syarat baharu dengan mewajibkan pendeposit menyimpan minimum RM15,000 dalam akaun bagi membolehkan bakal jemaah menerima tawaran haji.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, penetapan kadar tersebut adalah selari dengan peningkatan semasa kos ibadat itu.
Malah, katanya, peningkatan kadar itu masih tidak memadai, mengambil kira kos mengerjakan haji secara muassasah bagi seorang jemaah adalah RM33,300.
Dalam pada itu, Mohd Sukki berkata, individu yang mahu menunaikan haji perlu pertamanya memperbetulkan niat dan fahami ilmu manasik lebih awal kerana ibadat itu bukan sekadar destinasi tetapi proses pembinaan diri.
Selain itu, katanya, bakal jemaah perlu merancang kewangan secara disiplin dan menyimpan secara konsisten bagi mengelakkan hutang yang tidak perlu serta memastikan kestabilan keluarga.
“Ketiga, jaga kesihatan. Kemampuan fizikal hari ini tidak menjamin kemampuan 10 tahun akan datang. haji memerlukan stamina dan kesabaran yang tinggi.
“Keempat, perbanyakkan doa dan kesungguhan. Dalam banyak keadaan, rezeki ke Tanah Suci hadir melalui jalan yang tidak disangka-sangka. haji bukan beban yang memiskinkan, tetapi ibadah yang membuka keberkatan namun ia tetap tertakluk kepada syarat kemampuan yang sah di sisi syarak,” katanya.
Tambahnya, konsep istito‘ah menzahirkan keindahan syariah iaitu kewajipan datang bersama kemampuan, sementara penetapan kadar oleh TH pula adalah instrumen pentadbiran untuk menjaga kelestarian pengurusan Haji negara.
“Bakal haji sewajarnya melihat perjalanan ini sebagai projek jangka panjang yang memerlukan persediaan kewangan, fizikal dan rohani secara seimbang,” katanya.
Sependapat dengan itu, Mufti Selangor, Datuk Dr. Anhar Opir berkata, penting untuk umat Islam memahami konsep istito’ah dalam syarat haji terutama dari aspek kemampuan kewangan.
Beliau berkata, konsep istito’ah penting kerana ia dapat membezakan anatara individu yang wajib menunaikan ibadah haji dan orang yang belum wajib.
“Kerana konsep istito’ah adalah syarat wajib haji sebagaimana yang dinyatakan di dalam surah Ali Imran ayat 97 yang menjelaskan bahawa kewajiban untuk seseorang itu menunaikan haji adalah mampu,” katanya.
Dalam pada itu, Anhar berkata, beliau mempersetujui penetapan kadar RM15,000 oleh TH bagi melayakkan bakal haji menerima tawaran haji.
“Wajar kerana ia sesuai dengan kos sebenar untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini. Oleh itu, simpan duit daripada sekarang supaya cukup,” katanya.
Bekas jemaah haji, Fadzilah Ismail, 68, berkata, beliau menyimpan di dalam akaun TH sejak usia muda berbekalkan gaji bekerja di kantin selama 20 tahun dengan upah sekitar RM10 sehari sahaja.
Katanya, sebahagian besar gajinya di simpan di dalam akaun TH di samping membuat kerja sambilan untuk memperoleh pendapatan tambahan bagi menambah simpanan untuk melayakkan diri menunaikan haji.
“Selepas saya berkahwin, saya mengasuh lebih 10 kanak-kanak dan mendapat RM200 sebulan untuk seorang dan itu juga saya simpan di dalam TH,” katanya.
Fadzilah yang berjaya menunaikan haji pada 2022 itu berkata, beliau nekad mahu menunaikan ibadat itu kerana sering mendengar pengalaman daripada ahli keluarga lain termasuk ibunya, selain mahu melengkapkan rukun Islam.
Beliau turut menceritakan pengalamannya di Mekah dan menyifatkan pengalaman itu mengujakan kerana dikelilingi oleh orang yang baik.
Katanya, golongan muda perlu mula menyimpan di TH supaya dapat menunaikan ibadat itu pada usia yang lebih muda.
“Semasa di Mekah, saya tanya jemaah-jemaah muda, mereka kata sejak lahir lagi ibu bapa sudah menyimpan duit untuk mereka di TH daripada duit sedekah, duit raya dan sebagainya, kerana itu mereka boleh pergi di usia 30 ke 40-an.
“Jadi saya rasa memang kena mula menyimpan dari awal, simpan sahaja sedikit demi sedikit di TH. Bagi ibu bapa muda yang baru mempunyai anak pun, mereka perlu cepat buka akaun TH anak,” katanya. – UTUSAN










