KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman, mengesahkan akan mengundurkan diri daripada jawatan tersebut di Radio Televisyen Malaysia (RTM) berkuat kuasa penghujung Februari ini.
Suhaimi, 64, berkata, keputusan itu dibuat atas faktor peribadi bagi memberi tumpuan kepada diri sendiri serta perniagaan selepas lebih tiga tahun berkhidmat di stesen penyiaran awam berkenaan.
Menurutnya, keputusan tersebut merupakan sebahagian daripada perjalanan hidup yang menuntut perubahan dan hala tuju baharu.
“Ini sebahagian daripada perjalanan hidup. Sampai satu tahap, kita merasakan perlu bergerak ke hadapan dan melakukan perkara lain.
“Saya kini berusia 64 tahun dan pernah bersara sebelum dipelawa untuk membantu RTM. Selepas lebih tiga tahun di sini, masih banyak perkara yang ingin saya lakukan, sama ada dari segi profesional mahupun peribadi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sidang media program Puasa Tetap Puasa & Raya Tetap Raya, di sini, pada Selasa.
Suhaimi berkata, selepas menamatkan perkhidmatannya, beliau akan memberi tumpuan kepada perniagaan kafe Sambal & Style serta pengurusan asrama pengembara di Melaka.
Selain itu, beliau juga berhasrat kembali aktif dalam bidang konsultasi, latihan media, kejurulatihan eksekutif serta komunikasi krisis yang terpaksa ditangguhkan sepanjang tempoh perkhidmatannya di RTM.
“Saya juga merindui kerja-kerja konsultasi dan latihan media yang sebelum ini terpaksa diketepikan sepanjang di RTM,” katanya.
Mengulas lanjut, Suhaimi menjelaskan keputusannya telah dipersetujui oleh pihak berkaitan selaras dengan notis pengunduran dalam klausa kontrak.
“Saya telah berbincang dengan YB Menteri, Datuk Fahmi Fadzil dan Ketua Setiausaha (KSU). Mereka memahami keputusan ini. Ia bukan soal dipujuk atau sebaliknya, tetapi saya merasakan masanya telah tiba.
“Saya tidak bimbang mengenai masa depan RTM kerana asasnya sangat kukuh. Warga kerja RTM terdiri daripada kakitangan yang hebat dan profesional,” katanya.
Beliau turut menyatakan kesediaan untuk kembali membantu RTM pada bila-bila masa sekiranya diperlukan.
“Saya sudah menganggap mereka seperti adik-beradik sendiri,” tambahnya.
Sebelum ini, Suhaimi pernah memegang pelbagai jawatan kepimpinan dalam industri penyiaran termasuk di Astro Awani, Media Prima dan TV Sarawak, selain menyifatkan pengalamannya di RTM sebagai satu kembara yang indah dan bermakna.-UTUSAN










