KALAU selebriti lain memilih memperlahankan kerjaya sepanjang bulan Ramadan untuk bersama keluarga, nampaknya pelakon, Sophia Albarakbah, tidak berniat begitu. Baginya, berpuasa atau tidak, komitmen bekerja sentiasa menjadi
keutamaan apatah lagi dirinya semakin laris ditawarkan berlakon drama sejak setahun lalu.
Jelas Sophia atau Sharifah Sophia Syed Abdul Rahman, 32, sekiranya ada masa terluang, sudah pasti dia berbuka puasa bersama keluarga. Tidak gemar ke bazar Ramadan, pelakon From Saga With Love itu lebih gembira jika dapat menggunakan kesempatan yang ada dengan memasak juadah berbuka buat keluarga.
“Keluarga faham saya sentiasa sibuk. Kalau saya cuti atau penggambaran habis awal, saya akan sedaya upaya berbuka puasa bersama mereka.
“Waktu muda saya sukalah pergi bazar tapi sekarang saya lebih gemar memasak untuk keluarga,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Kemahiran memasak Sophia juga bukan calang-calang. Dia mampu menyediakan pelbagai jenis masakan mengikut permintaan keluarga, merangkumi masakan Barat, Melayu sehinggalah Cina.
“Kalau tentang masakan, saya selalunya akan ikut tekak ahli keluarga. Kalau mereka teringin nak makan apa-apa, saya akan masak masakan Melayu, Barat mahupun Cina,” katanya.
Ditanya mengenai juadah yang bakal dicari untuk berbuka, nampaknya Sophia tidak memberi jawapan yang mudah dijangka seperti martabak atau kuih pelita. Sebaliknya Sophia akan mencari laksa.
“Saya suka Asam Laksa sebab rasanya unik. Selain itu mungkin pencuci mulut, saya memang ‘hantu’ juadah itu. Cuma saya tak ada pencuci mulut yang spesifik sebab suka cuba banyak menu baharu.
“Selain itu sudah tentu sate, lemang dan rendang ayam dan bermacam lagi masakan Melayu,” katanya.
BERNIAGA DI BAZAR RAMADAN
Paling mencuri tumpuan adalah keberanian Sophia terjun ke dalam bidang perniagaan bersama adik perempuannya, menjual air kelapa pandan di Stadium Merdeka sepanjang Ramadan ini.
Sophia menyifatkan perniagaan sebagai satu aktiviti sampingan yang menyeronokkan untuk mengisi masa sekiranya tidak terlibat dengan penggambaran.
“Saja-saja saya cuba untuk berniaga. Kalau tak ada penggambaran, memang saya akan ada sahaja di Stadium Merdeka. Tapi kalau sibuk, adik dan juga beberapa pekerja saya akan ada di sana,” katanya.
Berkongsi lanjut, Sophia mengakui skeptikal dengan kebersihan dan jumlah penggunaan gula dalam sesetengah air balang yang dijual ketika Ramadan. Katanya jualan air kelapa diharapkan dapat memberi alternatif minuman lebih sihat.
“Bagi saya, air kelapa adalah minuman semula jadi terbaik untuk menghidratkan badan selepas seharian berpuasa. Malah, ia pengganti minuman isotonik yang lebih sihat dan menyegarkan.
“Dalam masa sama saya galakkan orang kurangkan pengambilan gula. Minum air kelapa yang sangat sihat, segar lagi-lagi bulan puasa ini.
Untuk memberikan kelainan, Sophia memperkenalkan inovasi cloud toppings. Pelanggan boleh memilih perisa tambahan seperti Cloud Matcha, Cloud Peach, dan Cloud Pandan sebagai perisa tambahan air kelapa mereka.
Ditanya mengenai kesediaan berhadapan kritikan, Sophia menjawab bahawa dia sudah bersedia dengan segala maklum balas yang bakal diterima.
“Sudah tentu saya akan terima segala maklum balas daripada pembeli. Kita mahukan yang terbaik untuk semua orang. Ini kali pertama Sophia dengan adik Sophia berniaga, harap semua berjalan lancar,” katanya.










