PETALING JAYA: Teka-teki mengenai calon yang bakal dinamakan Pas sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang baharu dijangka terjawab hari ini.
Namun, identiti calon berkenaan terus menjadi tanda tanya apabila pucuk pimpinan tertinggi parti kekal mengunci mulut sehingga pengumuman rasmi dibuat.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, beliau tidak dapat berkongsi lanjut mengenai individu yang bakal dinamakan sebagai Pengerusi PN.
Beliau bagaimanapun mengesahkan perkara itu akan diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN yang dijadualkan berlangsung petang ini.
“Perkara tersebut akan diputuskan dalam Mesyuarat PN yang dijadualkan pada Ahad.
“Saya berharap mesyuarat itu berjalan lancar dan dapat menyelesaikan kemelut dalam PN ketika ini,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden memberi bayangan bahawa hanya terdapat seorang calon daripada parti itu yang bakal dinamakan sebagai Pengerusi PN, susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin bermula bulan lalu.
Dalam pada itu, penganalisis politik, Prof. Dr. Mohd. Azizuddin Mohd. Sani berkata, kenyataan Afnan Hamimi bahawa hanya terdapat seorang calon memberi gambaran bahawa Pas mungkin menamakan Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Beliau berkata, Abdul Hadi yang juga Timbalan Pengerusi PN merupakan pemimpin paling layak mengisi jawatan itu berdasarkan hierarki perjawatan dalam gabungan. – UTUSAN










