IPOH: Seorang lelaki maut manakala tujuh yang lain cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 13, Jalan Cameron Highlang- Simpang Pulai di sini hari ini.
Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd. Hanafiah berkata, maklumat kemalangan itu diterima pada pukul 3.04 petang.
Katanya, sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai diatur gerak ke lokasi kejadian untuk operasi menyelamat.
“Kemalangan membabitkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Nissan Serena, kereta Perodua Myvi dan Mitsubishi Xpander.
“Dalam kejadian itu, lelaki berusia 65 tahun yang menaiki kereta Perodua Myvi didapati cedera parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dengan empat yang lain cedera,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, tiga individu yang menaiki MPV Nissan Serena turut cedera manakala enam individu yang berada di dalam Mitsubishi Xpander pula selamat.
“Ketua operasi melaksanakan penilaian risiko seterusnya mengaplikasikan konsep SAVER dengan mengarahkan anggota melaksanakan kerja-kerja penyelamatan sehingga mangsa berjaya dikeluarkan.
“Mangsa diberikan rawatan awal dengan mangsa yang meninggal dunia diserahkan pada pasukan perubatan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Tambah beliau, operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 5.40 petang. – UTUSAN










