PETALING JAYA: Dunia seni tanah air kehilangan seorang lagi insan berbakat apabila pelakon, Along Eyzendy Aziz, disahkan meninggal dunia, sekali gus meninggalkan kesan mendalam dalam kalangan rakan seperjuangan dan peminat.
Berita pemergian Allahyarham nyata menyentuh hati ramai, termasuk rakan artis yang pernah bekerjasama rapat dengannya.
Pelakon, Kamal Adli, menerusi perkongsian di media sosial menzahirkan rasa sedih dan terkejut atas kehilangan sahabatnya itu.
“Al-Fatihah untuk Along Eyzendy. Mohon semua dapat sedekahkan Al-Fatihah kepada arwah. Semoga ditempatkan bersama orang-orang beriman dan diperluaskan liang lahadnya. Kenangan bekerja dengan awak akan saya kenang sampai bila-bila. Berehatlah sahabat,” tulisnya.
Nada sama turut dikongsikan oleh pelakon Ucop Cecupak, yang menyifatkan Allahyarham sebagai sahabat baik serta rakan seni yang sukar dicari ganti. Menurut Ucop, kenangan bersama Allahyarham ketika terlibat dalam sebuah pementasan teater di Melaka tahun lalu akan kekal terpahat dalam ingatan.
“Tenanglah wahai sahabat baikku Along Eyzendy Aziz. Kenangan kita membuat teater di Melaka bersama tidak akan aku lupakan. Banyak yang berlaku sepanjang latihan, perjalanan dan tinggal sebilik bersama, termasuk saat arwah mula diuji dengan penyakit,” katanya.
Ucop turut menyatakan seluruh pasukan teater amat terkesan dengan pemergian Allahyarham dan mendoakan agar roh Along Eyzendy dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman dan beramal soleh.
Terdahulu, pelakon, Along Ezyendy dilaporkan meninggal dunia selepas menghembuskan nafas terkakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Sultan Ahmad Shah, Serdang.
Sejak 30 Januari lepas, dimasukkan ke hospital berkenaan selepas mengalami demam dan batuk berpanjangan yang disyaki doktor berpunca daripada jangkitan yang berlaku pada stent dalam saluran hempedunya.
Pelakon filem One Two Jaga dan Adiwiraku 2: The Gemencheh Boys itu dipindahkan dan ditidurkan di ICU sejak Khamis lepas disebabkan keadaanya yang merosot.
Along sebelum ini menderita penyakit buah pinggang dan pernah menjalani pemindahan organ tersebut yang didermakan isterinya pada 2021. -UTUSAN










