Hamzah dipanggil menghadap Lembaga Disiplin Khamis ini - Utusan Malaysia

Hamzah dipanggil menghadap Lembaga Disiplin Khamis ini

HAMZAH ZAINUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lembaga Disiplin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) difahamkan menetapkan Khamis ini untuk Timbalan Presidennya, Datuk Seri Hamzah Zainudin hadir memberi keterangan berhubung empat aduan disiplin ke atasnya.

Maklumat itu berdasarkan surat bertarikh 6 Februari 2026 yang tular hari ini dipercayai daripada Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Datuk Mohd. Radzi Manan kepada Ahli Parlimen Larut itu.

Utusan Malaysia sudah menghubungi Mohd. Radzi untuk mengesahkan surat berkenaan, namun belum menerima sebarang respons.

Surat itu bertajuk ‘Notis panggilan kali kedua sesi perjumpaan bersama Ahli Jawatankuasa Lembaga Disiplin berkenaan aduan disiplin ke atas Datuk Seri Hamzah Zainudin’.

Dokumen itu menyatakan, aduan disiplin pertama adalah bertarikh 30 September 2025, mendakwa Hamzah terlibat dalam komplot untuk mengganggu serta mensabotaj perjalanan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu 2025.

Selain itu, Hamzah juga didakwa gagal menghalang beberapa pemimpin dan pengikutnya daripada membuat kenyataan serta tindakan yang didakwa mencemarkan imej parti dan melemahkan kedudukan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Aduan sama turut menyatakan Hamzah sepatutnya mendisiplinkan pengikutnya dengan memberikan arahan tegas bagi mengelakkan sebarang bentuk kacau ganggu, serangan terhadap kepimpinan parti serta gerakan yang didakwa bertujuan memalukan, melemahkan dan menjatuhkan Muhyiddin.

Sementara itu, aduan disiplin kedua hingga keempat yang dikemukakan pada 5 Februari 2026 pula mendakwa Hamzah terlibat dalam perancangan mengumpul akuan bersumpah (SD) dengan memanipulasi ketetapan Retreat (Pemukiman) Gopeng dan merancang untuk mensabotaj PAT Bersatu 2025.

Hamzah juga didakwa terlibat dalam usaha menggagalkan usul perbahasan bagi mengekalkan Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri Ke-11 daripada Bersatu serta mengekalkan jawatan Presiden parti.

Aduan lain pula mendakwa, Hamzah telah mengeluarkan kenyataan awam ketika menjawab pertanyaan media di Dewan Rakyat dengan berkata, “jemput pun tidak, nak suruh hadir macam mana?”

Notis itu turut memaklumkan kegagalan Hamzah untuk menghadiri sesi perjumpaan pada Khamis ini bakal memberi kuasa kepada Lembaga Disiplin untuk membuat sebarang syor atau keputusan tanpa kehadirannya selaras Fasal 22.5 Perlembagaan Parti dan keputusan itu adalah muktamad. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN